POLIS Diraja Malaysia (PDRM) meminta pemilik motosikal dalam video tular yang mendakwa motosikalnya dirosakkan dua anggota polis untuk tampil membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pemilik motosikal berkenaan boleh hadir ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membuat laporan.
"Polis mengesan rakaman CCTV berdurasi tiga minit 18 saat berhubung kejadian tular itu di media sosial pukul 1 tengah hari, 31 Ogos lalu.
BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar
"Dalam rakaman itu, petugas rondaan cegah jenayah dari Balai Polis Kampung Baru Subang dilihat mendekati sebuah motosikal yang ditempatkan di stesen minyak Petron dekat Subang Perdana, Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]
Tangkap layar video seorang pemilik motosikal yang mendakwa motosikalnya dirosakkan dua anggota polis di stesen minyak Petron dekat Subang Perdana.
Jelas beliau, pemeriksaan kenderaan adalah tugas harian setiap petugas rondaan cegah jenayah di lapangan.
“Sehubungan itu, pemilik motosikal turut diminta tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.
“Polis Daerah Sungai Buloh menasihati masyarakat amnya di Sungai Buloh agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan rakaman video yang boleh menjatuhkan imej PDRM.
Menurut Mohd. Hafiz, kenyataan atau rakaman video yang dikeluarkan tanpa kesahihan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram