[VIDEO] Aktif seks bebas sejak sekolah, bekas bintang Liga Super 'kaki' kelab kini hidap HIV


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Usai selesai proses pemulihan di Puspen Serendah nanti, Sam sudah mempunyai perancangan untuk kembali ke dunia bola sepak.

KERJAYA sebagai seorang pemain bola sepak secara lazim mengamalkan gaya hidup sihat di mana jadual harian mereka akan diisi dengan latihan dan aktiviti fizikal bagi mengekalkan momentum sebagai bintang sukan.

Walaupun begitu, ada juga kehidupan pemain bola sepak yang terpesong dari norma asal selepas terjerumus dalam kancah dadah sehingga kariernya lenyap tanpa khabar.

Dalam sesi temu bual khas baru-baru ini, Majoriti berpeluang mendengar luahan bekas pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi pasukan gergasi di utara tanah air yang berdepan dugaan akibat putus cinta.

BACA LAGI: Stres selepas bercerai, teringin nak kurus punca ibu 2 anak 'layan' syabu sampai ketagih

BACA LAGI: Budak taska tiru aksi guna picagari, pernah lihat bapa suntik dadah — AADK

Berpisah dengan teman wanitanya selepas 10 tahun menjalin hubungan cinta membuatkan pemain Liga Super yang mahu dikenali sebagai Sam itu memilih untuk mengambil syabu sebagai cara melupakan kekecewaannya dalam percintaan.

Sam yang ketika itu berusia 27 tahun dan sedang melalui kemuncak kariernya sebagai pemain bola sepak melihat syabu seolah-olah jalan penyelesaian untuk keluar daripada tekanan akibat patah hati bersama bekas teman wanitanya.

"Mula-mula saya nak cuba (syabu) sebab tekanan, lama-lama ambil banyak dah jadi ketagih. Dah dua kali saya kena tangkap tetapi masuk pusat (Puspen) baru pertama kali tahun lalu. Semasa 2019 saya kena PS (pengawasan) dekat daerah Klang.

"Bukan hanya syabu, saya memang ambil macam-macam. Lebih teruk apabila saya juga jadi penjual barang itu, seronok merasa pegang duit banyak," katanya.

Tambah Sam, syabu yang diambil langung tidak memberi tenaga, sebaliknya menurunkan momentum sebagai pemain, sekali gus ia menidakkan cakap-cakap orang mengenai pengambilan dadah boleh memberi semangat serta meningkatkan prestasi.

photo_6244294334673436366_y

Suasana perbarisan klien di Puspen Serendah.

"Ketika itu prestasi saya pula makin menurun, kadang-kadang sampai terlepas latihan.

"Ada yang tanya kenapa muka saya dah lain, kenapa fizikal saya berubah, semuanya sebab ada kalanya tidak tidur dua ke tiga hari," katanya.

Tidak cukup dengan masalah emosi yang tidak menentu, lelaki berasal daripada Teluk Intan, Perak ini disahkan menghidap penyakit HIV/Aids selepas tiga tahun terjerumus dalam ketagihan dadah.

Lebih mengejutkan apabila anak keempat daripada enam beradik itu mendedahkan dia mula terlibat dalam aktiviti seks bebas ketika di tingkatan lima dan kegiatan itu semakin menjadi-jadi apabila sering melanggan pelacur ketika pasukan bola sepaknya terlibat perlawanan di luar negara.

"Mungkin saya kena HIV sebab kaki kelab. Kalau travel mesti booking perempuan bila ke Vietnam atau Korea. Saya tak biasa pakai kondom dan mungkin daripada situ saya dapat.

"Saya start demam selama seminggu dan ia berulang. Selepas ujian darah di hospital baru dapat tahu yang saya ada HIV. Memang down tapi Alhamdulillah, keluarga boleh terima dan bantu," ujarnya.

WhatsApp Image 2024-09-01 at 22.28.21

Hidup Sam juga diuji dengan penyakit HIV/Aids. — Gambar Hiasan

Sam yang kini sudah berusia 32 tahun menyedari dugaan yang dihadapinya kerana pilihannya sendiri yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat pada masa lalu.

Berbaki empat bulan lagi sebelum melangkah keluar daripada Puspen Serendah, Sam sudah mempunyai perancangan untuk kembali ke dunia bola sepak, malahan pemain posisi pertahanan itu tidak kisah jika perlu bermula di peringkat Liga Sosial.

“Kadang-kadang rasa kecewa dan nak salahkan ALLAH. Tapi bila ada di Puspen, saya salahkan diri sendiri kerana kita manusia yang sepatutnya pilih mana yang elok dan tidak elok.

“Sekarang dah clean, makin senang nak dekat dengan ALLAH, saya pun dah rasa lebih seronok. Kesihatan lebih baik dan saya pun dah semakin berisi. Kalau dulu nak makan pun tak lalu,” jelasnya menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram