[VIDEO] Terjebak dadah akibat 'buta' cinta, anak jati Sandakan tekad capai kemerdekaan sebenar


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Aileen sekali tidak menyangka bahawa perasaan cinta kepada lelaki yang dikasihinya akan menjadi titik tolak kepada episod hitam dalam kamus hidupnya.

JIKA dapat diputarkan kembali waktu, Aileen (bukan nama sebenar) berharap dirinya tidak membuat kesilapan dengan mengambil bahan terlarang sehingga menjerat dirinya sendiri.

Baginya, ia adalah satu keputusan yang bodoh, apatah lagi tindakan itu dilakukan hanya kerana terikut-ikut tunangnya, Hadi.

Hanya kerana perasaan ingin tahu, ia mendorong bekas kerani kewangan yang pernah berkhidmat di sebuah syarikat swasta di Wilayah Persekutuan Labuan itu untuk mengambil bahan terlarang jenis syabu.

BACA LAGI : [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

BACA LAGI : Budak taska tiru aksi guna picagari, pernah lihat bapa suntik dadah — AADK

Malang buat wanita yang berasal dari Kundasang, Sabah ini kerana dia sama sekali tidak menyangka bahawa perasaan cinta kepada lelaki yang dikasihinya akan menjadi titik tolak kepada episod hitam dalam kamus hidupnya.

455161356_891149666378445_9082768300666934900_n

Sembilan bulan menjalani pemulihan di Puspen, Dengkil membuka satu lembaran baharu dalam kehidupan Aileen.— Puspen Dengkil

Berkongsi kepada Majoriti, Aileen pada mulanya meletakkan harapan bahawa cinta mereka dapat menyelamatkan tunangnya daripada terus hanyut.

Malahan, katanya, tidak pernah terlintas difikiran dia juga akan kalah dengan najis dadah tersebut.

"Sebelum ini, setiap hari saya nasihatkan dia untuk berhenti kerana ketika itu kami sememangnya merancang untuk berkahwin. Bagaimanapun, Hadi masih tidak berubah dan akhirnya saya terpengaruh hingga ketagih dan mula menjauhkan diri daripada keluarga," katanya dalam satu temu bual khas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen), Dengkil, Selangor baru-baru ini.

Selepas beberapa bulan terjebak dengan dadah, anak ketiga daripada sembilan beradik yang dahulunya aktif dalam sukan dan silat ini mulai takut dengan bayang-bayangnya sendiri.

Hilangnya keyakinan diri menyebabkan wanita itu mengambil keputusan untuk jarang pulang ke rumah keluarganya di Sandakan.

"Saya takut kalau mama tahu saya dan tunang ambil dadah, mereka akan pisahkan kami.

"Saya jadi 'buta' kerana terlalu sayangkan Hadi dan ketagihan terhadap bahan terlarang itu," katanya dengan nada penuh penyesalan.

Aileen juga berkongsi sifat agresif Hadi yang sering memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan.

"Saya dipukul hingga mata lebam, tetapi saya tetap setia kerana masih sayang dan cintakannya. Dia juga berjanji nak berubah, namun sayangnya, janji hanya tinggal janji," ujar Aileen.

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

1585930827921

Aileen juga berkongsi sifat agresif Hadi yang sering memukulnya sehingga menyebabkan kecederaan. — Gambar Hiasan/Agensi

Kongsi Aileen lagi, tiga bulan sebelum melangsungkan perkahwinan, mereka berdua ditangkap pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di rumah Hadi yang terletak di Wilayah Persekutuan Labuan.

Lebih mengejutkan lagi, laporan itu dibuat sendiri oleh adik Aileen yang curiga dengannya selepas melihat perubahan sikap kakaknya.

"Saya ditangkap bersama Hadi ketika menghisap dadah. Saya marahkan adik, saya tertanya-tanya kenapa dia buat begitu.

"Bila difikirkan semula, baru saya sedar kesalahan diri sendiri dan bersyukur kerana keluarga masih sayangkan saya. Semua ini ada hikmah," katanya.

Sembilan bulan menjalani pemulihan di Puspen, Dengkil membuka satu lembaran baharu dalam kehidupannya.

Aileen berusaha untuk memperbaiki hidupnya demi masa depan yang lebih cerah bukan sahaja untuk kebaikan dirinya, malah keluarga yang banyak berjasa membawanya kembali ke pangkal jalan.

"Saya rancang untuk sambung perniagaan keluarga. Malahan, adik sendiri beritahu apabila keluar nanti, sudah ada kerja untuk saya.

"Mungkin saya akan buat kuih raya, saya juga suka menjahit," katanya ketika bercerita tentang perancangan masa depannya kelak.

Ditanya tentang hubungan dengan keluarganya, Aileen mengakui dia masih menyimpan rasa bersalah terhadap keluarga, terutama ibunya.

"Untuk mama, saya minta maaf sebab sudah kecewakan dia. Bukan niat saya hancurkan harapan keluarga, tapi mungkin saya yang bodoh sebab salah pilih pasangan, " katanya sambil berlinang air mata.

Mengakhiri pertemuan itu, Aileen berharap untuk mencapai kemerdekaan sebenar apabila dibebaskan daripada Puspen selepas tamat menjalani rawatan, malahan harapannya untuk memulakan hidup baharu mencerminkan semangat juangnya untuk bangkit walaupun dalam keadaan yang paling sukar.

"Saya ingin bebaskan diri dari bahan terlarang ini, cukuplah sekali dan saya tak mahu terjebak lagi. Itu kemerdekaan yang saya sangat ingin capai," katanya dengan penuh tekad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram