KEMUNCULAN seekor buaya di Tasik Seksyen 7 dekat Shah Alam, Selangor masih lagi menimbulkan 1,001 persoalan dalam kalangan masyarakat setempat.
Walaupun buaya tembaga jantan sepanjang 1.68 meter itu telah ditangkap pada Rabu, namun masih ada tertanya-tanya bagaimana reptilia berkenaan berada di tasik tersebut.
Menurut seorang pengguna Facebook Muhd Ridzuan, dia mendakwa reptilia tersebut berkemungkinan haiwan peliharaan eksotik yang dibuang di tasik berkenaan.
"Mungkin buaya tembaga yang dibuang oleh tuan sebab sudah tidak ada ruang di rumah dan semakin berbahaya. Sekarang ini ramai suka pelihara binatang pelik-pelik tetapi bila sudah besar buang merata.
BACA LAGI: [VIDEO] Perhilitan berjaya tangkap buaya sesat di Tasik Shah Alam
BACA LAGI: [VIDEO] Ditangkap sekembali tunai umrah, akauntan penghidap HIV tekad diri bebas dadah
"Sama macam ular sawa, bila sudah terlalu besar buang sesuka hati. Ini belum cerita lagi ikan Arapaima yang dibuang. Rasanya dah perlu buat undang-undang baharu untuk mengatasi masalah ini," katanya.
Sementara itu, Amir Shafiq menggesa kerajaan untuk memantau syarikat dan orang persendirian yang menjalankan perniagaan menjual haiwan eksotik.
"Kena pantau mana-mana orang yang jual haiwan seperti ini. Ada sesetengah orang minat haiwan eksotik macam ini tetapi bila sudah tak mampu jaga dan kos tinggi terus buang merata-rata.
"Mereka tak pernah fikirkan kepentingan dan keselamatan orang lain," tulisnya.
Terdahulu, media melaporkan buaya tersebut ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor menggunakan perangkap sangkar besi yang diletakkan di tasik tersebut.
Untuk makluman, ini bukanlah kejadian pertama buaya ditangkap di sekitar tasik Shah Alam.
Pada Februari 2019, Perhilitan Selangor berjaya menangkap seekor anak buaya tembaga yang dipercayai dilepaskan individu tidak bertanggungjawab di Tasik Shah Alam, Seksyen 14.
Ia berikutan siasatan awal mendapati tasik itu tidak bersambung dengan mana-mana tasik atau sungai yang membolehkan buaya dari habitat liar masuk ke kawasan berkenaan.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram