MENGENDALIKAN klien yang juga penghidap HIV bukanlah satu tugas yang mudah, akui Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serendah, Mohd Azizi Salleh.
Beliau berkata, menguruskan golongan seperti ini perlu lebih banyak bermain dengan emosi.
Klien seperti itu juga memerlukan pendekatan yang bersifat sensitif dan penuh empati berikutan mereka bukan sahaja perlu melawan ketagihan, malah kesihatan turut terjejas.
"Pengendalian ini memerlukan pengetahuan yang mendalam tentang virus tersebut, sokongan psikologi yang berterusan dan kesabaran untuk membantu mereka melalui proses pemulihan.
BACA LAGI : [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar
BACA LAGI : Dadah tak kenal mangsa, ayuh bangkit 'merdekakan' Malaysia
"Pendekatan yang holistik dan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh adalah kunci untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih baik dan bebas daripada ketagihan," katanya dalam satu temu bual khas bersama Majoriti di Puspen Serendah, Selangor baru-baru ini.
Ceramah agama antara aktiviti di Puspen Serendah untuk memperbaiki kerohanian klien-klien yang beragama Islam. — Facebook/Puspen Serendah
Jelas beliau lagi, dalam rawatan klien HIV, pihaknya turut bekerjasama dengan Hospital Sungai Buloh bagi memastikan rawatan terbaik dapat ditawarkan kepada klien.
Ujarnya, klien yang memerlukan rawatan antiretroviral atau temujanji dengan pakar akan dirujuk ke hospital tersebut, selain Klinik Kesihatan Serendah untuk rawatan susulan melibatkan kes ringan.
"Bagi kes yang lebih kronik, mereka akan dirujuk sama ada ke Hospital Sungai Buloh atau Hospital Selayang, bergantung kepada keadaan," katanya.
Ditanya cabaran lain yang perlu dihadapi ketika di Puspen Serendah, Mohd Azizi memberitahu, mengendalikan klien baharu juga bukan satu tugas yang mudah.
"Bila klien yang baharu masuk, mereka ada tempoh pengasingan selama 14 hari di mana biasanya mereka mengalami gejala penarikan diri (withdrawal symptoms).
"Gejala ini sebenarnya berbeza-beza dan bergantung kepada penerimaan individu. Pemantauan penting sebab ada yang mengalami gejala seperti cirit-birit dan kesakitan yang melampau," jelasnya.
Bagi kes klien yang lebih kronik, mereka akan dirujuk sama ada ke Hospital Sungai Buloh atau Hospital Selayang.
Menjelaskan lebih lanjut, Azizi berkata, pihaknya menggunakan kaedah detoksifikasi dan rawatan perubatan yang memerlukan kakitangan perubatan terlatih bekerjasama untuk menangani situasi tersebut.
Tambah beliau, selepas tempoh dua minggu menjalani detoksifikasi, klien kebiasaannya akan memasuki fasa induksi atau orientasi.
"Dalam fasa berkenaan, kami akan pastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran (kerana) pusat pemulihan adalah berbeza dari dunia luar.
"Proses ini dijalankan di semua Puspen, yang mana klien akan melalui beberapa fasa rawatan meliputi detoksifikasi, induksi selama tiga bulan, rawatan lanjutan dan akhirnya fasa penamatan," ujarnya.
Ditanya bagaimana klien yang menghidap pesakit mental dirawat, Azizi menjelaskan pihaknya akan merujuk kepada pakar perubatan sekiranya klien tersebut menunjukkan simptom tertentu.
"Klien yang mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan atau kebimbangan memerlukan sokongan psikososial dan rawatan komprehensif untuk pemulihan termasuk penggunaan ubat antidepresan atau antipsikotik yang sesuai," katanya sambil menambah pihaknya akan bekerjasama dengan pakar dan pihak perubatan untuk menilai tahap mental klien tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram