CADANGAN bagi mewujudkan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) perlu mempunyai satu model khas yang bersesuaian dengan keadaan semasa bagi meningkatkan kualiti hidup golongan autisme di Malaysia.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata, dalam usaha membina persekitaran kondusif dan selamat buat golongan istimewa itu, perlu diwujudkan satu model yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk penyediaan terapi, latihan dan kemudahan pendidikan yang direka khusus selain hubungan kekeluargaan.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer itu, perkampungan pintar itu sebaiknya menerapkan 'model Malaysia' yang bermaksud wujudnya elemen keharmonian antara kaum, agama dan budaya.
BACA LAGI: SAVe: Jaminan keselamatan, yuran munasabah harapan ibu bapa anak autistik
BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti
"Model Malaysia ini perlu ada satu asimilasi budaya yang perlu dikekalkan seperti nilai kekeluargaan yang kuat.
"Menerusi SAVe nanti kita mahu ada ikatan keluarga yang erat dalam kalangan penghuninya kerana kita tak mahu anak tersebut ditinggalkan di sana dan tiada ikatan kekeluargaan," katanya kepada Majoriti selepas sesi perbincangan tertutup Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) di Shah Alam pada Isnin.
Sehubungan itu, katanya, perlu ada syarat bagi pihak yang berhasrat untuk ahli keluarga mereka ditempatkan di SAVe untuk kemandirian dan latihan penghuni, selain memastikan setiap hujung minggu adalah waktu untuk aktiviti bersama keluarga.
"Itu maksud saya model Malaysia dengan menerapkan nilai budaya yang ada pada rakyat negara ini dan ia masih perlu dikekalkan," katanya.
Perlindungan keselamatan jangka panjang
Menurut Anfaal lagi, jika SAVe dilaksanakan kelak, perlu dilihat untuk jangka masa panjang berkaitan perlindungan atau jaringan keselamatan untuk ibu bapa yang punya anak-anak istimewa.
"Sepertimana yang kita tahu, autisme ini tidak hanya berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira golongan kaya atau yang tidak berkemampuan.
"Jadi mereka perlu ada satu modul kewangan khas yang mampu menampung kelangsungan hidup golongan istimewa ini," katanya
Jelas beliau, sebagai contoh, mungkin boleh menggunakan tabungan tertentu menggunakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
"Ibu bapa yang bekerja dari awal lagi telah mencarum dan mengikut kaedah sekarang sebanyak 11 peratus daripada pekerja, 12 peratus daripada majikan.
"Jadi, dengan caruman sebanyak 23 peratus daripada gaji itu, pada umur 50 tahun boleh keluarkan pada akaun tertentu dan melalui akaun fleksibel juga boleh dikeluarkan pada jumlah tertentu.
"Jadi, model sebegitu akan memungkinkan mereka boleh menghantar anak ke satu pusat jagaan ini akan mampu bayar dengan tabungan tersebut," katanya.
Anfaal Saari
Tambah Anfal lagi, perancangan penubuhan SAVe itu berkemungkinan dilaksanakan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi iaitu selepas penubuhan Yayasan Anak Istimewa Selangor (Yanis).
"Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam memberikan kemudahan infrastruktur dan sebagainya," katanya sambil menambah pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri untuk memaklumkan mengenai SAVe.
Sementara itu, Pengerusi Nasom, Julian Wong Ming Vui berkata antara agenda utama yang direncanakan adalah untuk menjadikan perkampungan pintar ini sebagai penempatan khusus buat golongan autisme dewasa.
"Kita sudah sampai ke tahap ini dan saya harap SAVe akan dilaksanakan secepat mungkin. Penubuhan perkampungan pintar ini bukan untuk Nasom tetapi perjuangan untuk golongan istimewa," katanya.
Julian Wong Ming Vui
Untuk makluman, penubuhan SAVe di mana lokasinya dikenal pasti di sebuah kem milik Yayasan Selangor di Kuala Kubu Bharu bertujuan untuk mencipta persekitaran yang memahami dan menerima keperluan individu dengan autisme, sambil memberikan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka mencapai potensi maksimum mereka.
Ini adalah inisiatif yang sangat penting dalam meningkatkan kualiti hidup individu dengan autisme dan keluarga mereka, sambil mengurangkan stigma dan meningkatkan kesedaran tentang autisme dalam masyarakat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram