NASOM minta PDRM pertimbang tarik balik saman bapa budak autisme biar anak pandu kereta sendiri


  • Massa
  • Jumaat, 07 Jun 2024

Tangkap layar seorang kanak-kanak autisme memandu sebuah kenderaan secara bersendirian di Jalan Kampung Nyabor dekat Sibu, Sarawak.

PERSATUAN Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mempertimbangkan menarik balik saman yang dikenakan terhadap seorang bapa yang didapati membiarkan anaknya yang menghidap autisme memandu sebuah kenderaan di Sibu, Sarawak baru-baru ini.

Insiden tersebut berlaku apabila kanak-kanak autisme berusia 11 tahun memandu kenderaan milik bapanya di sekitar kawasan Jalan Kampung Nyabor.

Kanak-kanak istimewa tersebut ditemui orang awam yang memandu dalam keadaan berbahaya. Pada masa sama, video tersebut turut tular di laman media sosial dan menerima kecaman orang awam.

BACA LAGI: [VIDEO] Polis Sibu saman bapa kanak-kanak autisme biar anak pandu kereta sendirian

BACA LAGI: SAVe: Jaminan keselamatan, yuran munasabah harapan ibu bapa anak autistik

Naib Pengerusi NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, pihak berkuasa seharusnya melihat kejadian itu dalam pelbagai aspek.

"Kejadian tersebut adalah hasil daripada kesilapan yang tidak disengajakan dan mendesak PDRM untuk mengambil kira keadaan keluarga tersebut serta sifat autisme yang dihidapi oleh remaja tersebut.

"Kanak-kanak dan remaja dengan autisme kadang-kadang mempunyai kecenderungan untuk melakukan tindakan secara impulsif tanpa menyedari bahaya yang mungkin timbul," katanya kepada Majoriti.

Tambahnya lagi, kejadian itu harus dilihat dari perspektif kebajikan dan pemahaman yang lebih mendalam terhadap cabaran yang dihadapi oleh keluarga yang menjaga anak-anak dengan autisme.

"Kanak-kanak istimewa ini tidak boleh membuat penilaian sendiri dan menilai bahaya. Mereka juga boleh bertindak di luar kawalan dan kadang-kadang ibu bapa boleh 'terlepas' pandang.

"Kami berharap pihak PDRM dapat menunjukkan belas ihsan dan menarik balik saman ini kerana ia juga kes terpencil. saya juga berharap ia akan dijadikan pengajaran buat semua," katanya.

2656512

Naib Pengerusi NASOM, Mohd Nazrul Mohd Amin

Pada masa sama, Mohd Nazrul turut mengecam tindakan orang awam yang memukul serta menampar kanak-kanak tersebut seperti yang tular di media sosial.

"Mungkin mereka tak sedar dia kanak-kanak istimewa tetapi pada masa sama mereka tidak berhak mengasari kanak-kanak itu.

"Seboleh-bolehnya biar pihak berkuasa yang mengambil tindakan dan jangan ambil tindakan sendiri.

"Selain itu, saya juga berharap agar masyarakat di luar sana untuk tidak mengecam insan autisme dan keluarga mereka kerana ia akan memberi lebih tekanan daripada yang sedia ada sebaliknya belajar untuk memahami serta menerima insan autisme dalam kehidupan mereka," ujarnya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dirakam memandu sebuah kenderaan secara bersendirian di Jalan Kampung Nyabor telah dikenakan tindakan saman oleh polis.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, tindakan saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu dibuat setelah kanak-kanak berkenaan berjaya dikesan kira-kira pukul 6.50 petang Rabu.

"Hasil siasatan mendapati pemandu kereta tersebut adalah kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menghidap autisme dan mempunyai rekod perubatan di Klinik Pakar Psikiatri Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram