Penubuhan SAVe dijangka setahun, dua lagi — Exco Selangor


  • Primer
  • Sabtu, 04 Mei 2024

Anfal (dua dari kanan) ketika berkempen di Kuala Kubu Bharu, Selangor bersempena dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) di kawasan tersebut. — Facebook/AnfalSaari

KERAJAAN Selangor menyambut baik cadangan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) untuk mewujudkan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) dalam usaha membina persekitaran kondusif dan selamat buat golongan istimewa tersebut.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfal Saari berkata, kerajaan negeri juga memberi sokongan penuh terhadap penubuhan SAVe.

Beliau berkata, meskipun perbincangan mengenai peruntukan geran bagi penubuhan pusat tersebut pernah dipersetujui antara Kerajaan Negeri dan Persekutan, proses tersebut tergendala susulan perubahan kerajaan pada 2020.

Ujarnya, perbincangan dan persetujuan awal itu berlaku ketika penggal pertama kerajaan Pakatan Harapan pada 2018 melibatkan bekas Exco Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan mantan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

"Persetujuan sudah diberikan YB Hannah Yeoh. Cumanya geran tersebut tidak boleh disalurkan dari kerajaan ke kerajaan negeri kerana ia perlu libatkan contohnya penubuhan NGO.

"Namun dalam tempoh tersebut berlaku perubahan pemerintahan dan perbincangan itu tergendala," katanya kepada Majoriti ketika ditemui di Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Jumaat.

BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti

WhatsApp Image 2024-05-03 at 9.53.53 PM

Persetujuan awal telah diperoleh antara Nasom dan Yayasan Selangor untuk mewujudkan SAVe di kem ini.

Bagi meneruskan usaha merealisasikan penubuhan pusat tersebut, Anfal berkata, Kerajaan Negeri ketika ini sedang dalam proses menubuhkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YaNIS) yang dijangka didaftarkan pada Oktober tahun ini.

Ujarnya, penubuhan yayasan terbabit yang bakal diletakkan di bawah Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) itu penting bagi penubuhan SAVe kerana langkah itu membolehkan ia menjadi penerima dana awam dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk daripada Kerajaan Persekutuan.

"Saya berharap usaha ini dapat direalisasikan selepas YaNIS ditubuhkan dan untuk itu, kita akan turut bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom)," katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa langkah merealisasikan SAVe itu berkemungkinan mengambil masa antara satu hingga dua tahun selepas yayasan berkenaan berjaya didaftarkan.

"Kita akan wujudkan majlis penasihat YaNIS terdiri daripada lima orang iaitu saya sendiri sebagai exco, wakil kerajaan negeri dan wakil orang awam.

"Untuk wakil orang awam, kita mungkin cadangkan mantan exco sendiri iaitu Dr Siti Mariah sebagai seorang yang cukup bersemangat dalam usaha ini.

"Jadi kita akan susun semua ini dan harapnya menerusi rancangan tahun pertama dan kedua yang akan dirangka oleh YaNIS itu, kita akan wujudkan (SAVe).

"Sebab kita ada beberapa keutamaan termasuklah perkampungan anak-anak autisme di KKB," ujar beliau.

BACA LAGI: Autisme hanya perbezaan, bukannya kekurangan

2661071

Sebahagian fasiliti yang berada di kem yang perlu diubah suai dan dinaik taraf untuk membolehkannya menjadi perkampungan untuk golongan autisme.

Menurutnya, YaNIS bakal memainkan peranan lebih luas khususnya dalam membantu menjalankan inisiatif sokongan terhadap bukan sahaja insan istimewa dan anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) di bawah umur, tetapi juga dalam kalangan belia.

Pada masa sama, Anfal berkata, langkah bagi penubuhan SAVe juga akan menjalani proses semakan semula bersama Kerajaan Perpaduan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer berkata, pihak Yayasan Selangor sebelum ini sebenarnya sudah membenarkan penggunaan tanah bagi mewujudkan perkampungan tersebut.

Jelasnya, tapak berkenaan sebelum ini digunakan bagi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), bagaimanapun dari segi perbelanjaan pengurusan masih perlu ada dana khusus. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram