BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Ketika ramai ibu bapa gembira membesarkan anak di depan mata, ada banyak pasangan yang bergelut dengan diri dan emosi sendiri hanya kerana memiliki zuriat yang disahkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) autisme.
Terkadang, fikiran ibu bapa itu sendiri jauh melayang mengenangkan nasib anak mereka yang berbeza dengan kanak-kanak normal.
Pada masa sama, ia melibatkan banyak tanggungjawab dan kebimbangan dalam pelbagai aspek dari segi penjagaan, rawatan, pendidikan sehinggalah ke aspek kewangan pekerjaan dan kesejahteraan sosial mereka.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, kerisauan utama dalam kalangan ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak autistik ini adalah masa depan anak mereka.
"Tidak dinafikan, rata-rata penjagaan kanak-kanak istimewa adalah lebih mencabar dan tertekan berbanding penjagaan kanak-kanak dengan normal, terutamanya di negara-negara yang mengalami kekurangan sumber sokongan.
"Tambahan pula, ibu bapa sering berasa bimbang dan memikirkan bagaimana mereka akan menguruskan tekanan untuk menjaga keperluan anak mereka sehingga usia tua.
"Ini termasuk, kebimbangan tentang masa depan anak mereka selepas mereka tiada lagi, serta kebimbangan tentang siapa yang akan menjaga dan membimbing anak mereka selepas mereka dijemput Ilahi," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti
Profesor Madya Dr Fauziah Mohd Saad
BACA LAGI: SAVe miliki 5 elemen mesra insan autistik — Nasom
Sehubungan itu, beliau berkata, adalah penting untuk merancang jaminan masa depan bagi anak istimewa itu dengan mencari sokongan komuniti dan sumber bantuan, serta terlibat dalam perbincangan terbuka dengan ahli keluarga yang lain.
Katanya, untuk menghadapi kerisauan tersebut, penting untuk ibu bapa membuat perancangan masa depan bagi memastikan anak mereka akan mendapat sokongan dan perawatan yang mereka perlukan.
"Paling penting, cari sokongan komuniti. Sertai kumpulan sokongan untuk ibu bapa yang mempunyai anak istimewa atau cari bantuan dari organisasi tempatan yang menyediakan sokongan dan sumber daya.
"Pada masa sama, mereka yang mempunyai anak istimewa juga digalakkan untuk berbincang dengan ahli keluarga yang lain untuk memastikan terdapat perancangan yang jelas untuk masa depan anak dan memberikan keyakinan kepada semua pihak.
"Namun, menghadapi kerisauan ini memerlukan kesabaran, ketekunan, dan sumber daya yang sesuai, tetapi dengan sokongan yang betul, mereka dapat membina masa depan yang stabil dan berdaya tahan untuk anak mereka," ujarnya.
BACA LAGI: Autisme hanya perbezaan, bukannya kekurangan
Hasil soal selidik mendapati 87 peratus setuju menghantar anak mereka ke SAVe.
Pandangan Fauziah ini nyata senada dengan idea dari Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) untuk mewujudkan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe).
Sebelum ini, Majoriti melaporkan mengenai kaji selidik yang dijalankan Nasom berkaitan cadangan mewujudkan SAVe sebagai alternatif untuk membentuk masa depan anak-anak autistik dengan lebih baik.
Soal selidik yang dikendalikan Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC) pada Julai 2021 melibatkan hampir 400 ibu bapa dan penjaga anak autistik di mana keputusannya menunjukkan hampir 90 peratus kumpulan sasar terlibat bersetuju dengan cadangan pusat komuniti tersebut.
Rata-rata ibu bapa dan penjaga ini risau jika mereka terlebih dahulu meninggal dunia berbanding anak-anak syurga itu.
Bertitik tolak daripada itulah, pentingnya jika SAVe dapat segera direalisasikan kerana mengikut perancangan ia adalah fasiliti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan mesra individu autistik termasuk pemasangan peranti khusus untuk menjamin keselamatan penghuninya.
Malahan, lokasi itu juga akan membuka lembaran baharu kepada golongan itu untuk belajar berdikari dan berusaha mencari rezeki berdasarkan kemahiran diri masing-masing sama ada dalam bidang pertanian, ternakan, seni lukis, kraf dan jahitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram