SAVe miliki 5 elemen mesra insan autistik — Nasom


  • Massa
  • Selasa, 23 Apr 2024

SAVe adalah konsep yang dirangka Nasom untuk membina persekitaran kondusif dan selamat bagi individu didiagnosis mengalami autisme.

PERKAMPUNGAN Autisme Pintar (SAVe) adalah konsep yang dirangka Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) untuk membina persekitaran kondusif dan selamat bagi individu didiagnosis mengalami autisme atau gangguan perkembangan sepanjang hayat (ASD).

Konsep itu bertujuan menyediakan tempat tinggal, pendidikan, latihan kemahiran, dan sokongan yang diperlukan bagi individu dewasa yang disahkan Orang Kelainan Upaya (OKU) autisme agar dapat berkembang secara optimal dan mampu berdikari untuk kelangsungan hidup tanpa kehadiran keluarga di sisi.

Melalui kaji selidik yang dijalankan Nasom, hampir 90 peratus daripada hampir 400 ibu bapa dan penjaga kanak-kanak istimewa itu mengharapkan perkampungan yang lengkap dengan pelbagai kemudahan mesra individu autistik itu segera menjadi kenyataan.

Naib Pengerusi Nasom, Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, sebagai pertubuhan utama dalam kesedaran dan sokongan kepada individu dengan autisme di Malaysia, pihaknya mengambil tanggungjawab memainkan peranan penting dalam merangka inisiatif seperti Perkampungan Pintar Autisme.

"Keputusan kaji selidik menunjukkan terdapat sokongan yang kuat daripada ibu bapa dalam komuniti anak istimewa terhadap idea Perkampungan Autisme Pintar atau SAVe.

"Keputusan kaji selidik itu adalah sesuatu yang berharga kepada Nasom dan pihak berkepentingan lain untuk meneruskan usaha dalam menyediakan sokongan lebih baik kepada individu autistik dan keluarga mereka di Malaysia.

"Pada masa sama, ia turut mencerminkan keperluan yang besar untuk peningkatan infrastruktur dan sumber daya yang boleh memberi impak positif kepada individu dengan autisme," katanya ketika satu sesi temu bual khas bersama Majoriti, di Shah Alam, baru-baru ini.

WhatsApp Image 2024-04-22 at 18.12.57

Naib Pengerusi Nasom, Mohd Nazrul Mohd Amin

Tambahnya lagi, Malaysia perlu mencontohi Thailand yang prihatin terhadap anak-anak autistik dengan menyediakan pusat latihan khusus untuk menggilap bakat dan kemahiran bagi membantu insan istimewa itu berdikari.

"Pusat latihan terbabit yang terletak di daerah Lopburi menempatkan anak-anak autistik daripada pelbagai kategori.

"Di pusat latihan tersebut, anak-anak istimewa itu diberi latihan secara vokasional dan akademik antaranya seperti menjahit, bermain muzik, memelihara haiwan ternakan termasuk mengerjakan sawah padi," katanya.

Justeru, Nasom melihat inisiatif seperti itu boleh diaplikasikan di Malaysia melalui SAVe yang mahu segera digerakkan dengan kerjasama kerajaan dan pihak berkepentingan.

Namun katanya, SAVe tentu sekali sukar dilaksanakan sekiranya tidak mendapat kerjasama kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, institusi pendidikan dan masyarakat tempatan.

"Sehubungan itu, kami akan mengadakan pertemuan bersama semua pihak yang mempunyai kaitan dengan golongan autisme bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan pelaksanaan projek berkenaan.

"Hal ini kerana kolaborasi yang kukuh antara semua pihak tentu sekali akan membantu menyediakan sokongan yang diperlukan kepada individu dengan autisme terutama dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai ibu bapa atau penjaga," ujarnya.

428fb18f-2fc6-47be-8cc6-de89192f2d48

Keputusan kaji selidik menunjukkan terdapat sokongan yang kuat ibu bapa dalam komuniti anak istimewa terhadap idea Perkampungan Autisme Pintar atau SAVe.

Elemen utama SAVe:

Tempat Tinggal: Menyediakan kemudahan penginapan yang selamat dan mesra autisme untuk individu dengan autisme yang memerlukan penjagaan sepenuh masa atau separuh masa.

Pendidikan: Menyediakan program pendidikan khas yang disesuaikan dengan keperluan individu dengan autisme termasuk pengajaran kemahiran hidup, akademik, dan kemahiran sosial.

Latihan Kemahiran: Menyediakan program latihan kemahiran bertujuan untuk membantu individu dengan autisme mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk berdikari dan mendapat pekerjaan.

Sokongan Keluarga: Menyediakan sokongan dan bimbingan kepada keluarga individu dengan autisme dalam menguruskan keperluan dan cabaran yang mereka hadapi.

Pusat Komuniti: Menyediakan pusat komuniti yang terbuka untuk masyarakat tempatan, di mana individu dengan autisme dapat berinteraksi dengan masyarakat dan menjalin hubungan sosial.

Konsep Perkampungan Pintar Autisme bertujuan untuk mencipta persekitaran yang memahami dan menerima keperluan individu dengan autisme, sambil memberikan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka mencapai potensi maksimum mereka.

Ini adalah inisiatif yang sangat penting dalam meningkatkan kualiti hidup individu dengan autisme dan keluarga mereka, sambil mengurangkan stigma dan meningkatkan kesedaran tentang autisme dalam masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram