SAVe tagih dana RM20 juta, lokasi sesuai ditemui di Kuala Kubu Bharu — Nasom


  • Massa
  • Khamis, 25 Apr 2024

Mohd Nazrul (kanan) yakin pelaksanaan SAVe dapat memberi peluang jangka panjang kepada anak autistik hidup berdikari.

IDEA ini sebenarnya pernah rancak diperkatakan beberapa tahun lalu, malahan ia turut dibincangkan di peringkat kepimpinan negeri Selangor namun tergendala di tengah jalan kerana faktor perubahan tampuk pemerintahan.

Namun, bagi pihak Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) yang mencetuskan idea ini perkataan putus asa sama sekali tidak ada dalam kamus perjuangan mereka, sebaliknya perancangan untuk mewujudkan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) digerakkan semula dengan misi utama menjadikan ia realiti.

Naib Pengerusi Nasom, Mohd Nazrul Mohd Amin berkata, bermula 2021 menerusi kaji selidik yang dikendalikan Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC), kini pihaknya mahu melangkah lebih jauh.

"Hasil kaji selidik itu menampakkan begitu ramai ibu bapa dan penjaga yang mahu SAVe menjadi realiti dan faktor utama mereka setuju dengan pelaksanaannya kerana bimbang masa depan anak mereka jika ditakdirkan mereka meninggal dunia dahulu.

"Perkara ini sudah cukup penting untuk mendapat pertimbangan semua pihak terutama kerajaan dan Nasom akan mengusahakan sebaik mungkin untuk memastikan idea ini menjadi kenyataan," katanya kepada Majoriti ketika meninjau lokasi cadangan SAVe di Kuala Kubu Bharu (KKB), baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Kem Bina Semangat Yayasan Selangor, Muhammad Nazri Mustapa dan Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Harta Tanah dan Ukur Bangunan, Kolej Pengajian Alam Bina, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sr Dr Ahmad Shazrin Mohamed Azmi.

BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti

main pic

Persetujuan awal telah diperoleh antara Nasom dan Yayasan Selangor untuk mewujudkan SAVe di kem ini.

Sebelum ini, Majoriti melaporkan mengenai kaji selidik yang dijalankan Nasom berkaitan cadangan mewujudkan SAVe sebagai alternatif untuk membentuk masa depan anak-anak autistik dengan lebih baik.

Soal selidik yang dikendalikan Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC) pada Julai 2021 melibatkan hampir 400 ibu bapa dan penjaga anak autistik di mana keputusannya menunjukkan hampir 90 peratus kumpulan sasar terlibat bersetuju dengan cadangan pusat komuniti tersebut.

Rata-rata ibu bapa dan penjaga ini risau jika mereka terlebih dahulu meninggal dunia berbanding anak-anak syurga itu.

WhatsApp Image 2024-04-25 at 10.51.17

Nazri (kanan) dan Dr Ahmad Shazrin meninjau bangunan bengkel di kem.

BACA LAGI: Autisme hanya perbezaan, bukannya kekurangan

Bertitik tolak daripada itulah, pentingnya jika SAVe dapat segera direalisasikan kerana mengikut perancangan ia adalah fasiliti yang lengkap dengan pelbagai kemudahan mesra individu autistik termasuk pemasangan peranti khusus untuk menjamin keselamatan penghuninya.

Malahan, lokasi itu juga akan membuka lembaran baharu kepada golongan itu untuk belajar berdikari dan berusaha mencari rezeki berdasarkan kemahiran diri masing-masing sama ada dalam bidang pertanian, ternakan, seni lukis, kraf dan jahitan.

Jelas Mohd Nazrul, berdasarkan perbincangan dengan pelbagai pihak, akhirnya Nasom mendapat kerjasama Yayasan Selangor untuk mewujudkan SAVe di sebahagian kawasan kem yang keseluruhannya seluas 12 hektar.

WhatsApp Image 2024-04-25 at 10.12.27

Sebahagian fasiliti di kem yang perlu diubah suai dan dinaik taraf untuk keselesaan dan keselamatan anak-anak autistik.

"Bangunan asrama, bengkel, surau, ruang makan dan pelbagai fasiliti riadah serta aktiviti sesuai untuk anak-anak istimewa ini sedia ada di kem berkenaan," katanya yang menganggarkan sekitar RM20 juta diperlukan untuk membaik pulih dan menaik taraf beberapa kemudahan di situ termasuk melengkapkannya dengan beberapa aspek keselamatan anak-anak istimewa serta kos operasi selama lima tahun.

Jelasnya lagi, mengikut perancangan, SAVe akan menempatkan 100 anak-anak autistik dewasa berusia 14 tahun ke atas dengan mengenakan bayaran bulanan yang munasabah.

"Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, kita akan pertimbangkan pemberian subsidi.

"Bagaimanapun, apa yang paling penting adalah untuk mendapatkan dana bagi memulakan proses pengubahsuaian fasiliti di kem berkenaan dan melengkapkannya dengan peranti untuk keselamatan anak-anak istimewa terlibat," katanya.

Katanya, selain pembiayaan kerajaan, pihak swasta turut dialu-alukan menyumbang dalam apa juga bentuk bagi membantu melancarkan proses pelaksanaan dan operasi SAVe termasuk peralatan di bengkel-bengkel kemahiran di lokasi berkenaan.

Malahan, kata Mohd Nazrul lagi, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan autisme dalam masa terdekat untuk membentangkan dan mendapat sokongan pihak berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram