PENEMUAN mayat anak istimewa Zayn Rayyan Abdul Matiin berhampiran aliran anak sungai berdekatan blok rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai dekat Petaling Jaya, Selangor pada 6 Disember lalu, adalah antara kes jenayah yang menarik perhatian ramai.
Manakan tidak, kanak-kanak autisme itu ditemui kira-kira 200 meter dari blok kediamannya dalam keadaan menyayat hati selepas dilaporkan hilang sehari selepas keluarganya membuat laporan polis.
Biarpun pada awalnya diklasifikasikan sebagai kes budak hilang dan mati mengejut, namun hasil bedah siasat terhadap mayat kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu mendedahkan mangsa sebenarnya dibunuh berdasarkan kesan luka mempertahankan diri pada tubuhnya.
Sehingga kini, kes tersebut menemui jalan buntu dan suspek melakukan perbuatan jenayah itu masih bebas.
Kes Zayn Rayyan (kiri) masih lagi menjadi misteri sehingga kini.
Selain kes Zayn Rayyan, kematian seorang lagi budak autistik yang hilang pada 28 Februari lalu turut meruntun jiwa pelbagai pihak apabila mayat budak lelaki malang itu ditemukan orang awam yang sedang memancing pada kira-kira pukul 7 malam di sebuah kolam tadahan banjir di Petaling Jaya, Selangor.
Melihat kepada kedua-dua kes tersebut, insiden kanak-kanak autistik hilang adalah sesuatu yang membimbangkan dan ia antara aspek penting yang diberi perhatian oleh pihak Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) yang kini sedang berusaha untuk memastikan Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) menjadi realiti di Kuala Kubu Bharu.
Sehubungan itu, kepakaran pihak Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC) yang diterajui Profesor Dr. Nursuriati Jamil diguna pakai bermula dengan mengendalikan kaji selidik melibatkan hampir 400 responden dalam kalangan ibu bapa dan penjaga anak autistik.
Hasilnya, 87 peratus setuju untuk menghantar anak istimewa mereka ke SAVe kerana percaya ia mampu membentuk anak autistik lebih berdikari terutama jika terpaksa meneruskan kehidupan tanpa ibu bapa atau penjaga di sisi.
Berdasarkan perancangan, SAVe bukan sahaja menyediakan asrama, malahan anak autistik yang menyertainya boleh mengikuti pelbagai kursus kemahiran antaranya, jahitan, pertanian, ternakan, seni dan kraf sehingga ia boleh menjadi sumber rezeki untuk mereka berdikari.
Menurut Prof Nursuriati, penggunaan teknologi seperti sistem posisi sejagat (GPS) untuk menjejak lokasi kanak-kanak autistik yang terdedah kepada risiko hilang sememangnya wajar mendapat perhatian ibu bapa serta penjaga.
Katanya, penggunaan peranti dan aplikasi khas adalah antara kaedah terbaik mengawasi pergerakan anak-anak istimewa itu dan ia akan dilengkapkan di SAVe nanti.
"Peranti pengesan GPS boleh dipasangkan kepada kanak-kanak autistik sama ada pada pakaian, jam tangan, kasut, atau alat lain yang mudah dibawa.
"Alat ini akan menghantar maklumat lokasi secara langsung kepada ibu bapa, penjaga atau pihak berkuasa apabila diperlukan," katanya pada sesi temu bual bersama Majoriti, baru-baru ini.
BACA LAGI:[VIDEO] Risiko wanita dan lelaki di Malaysia menghidap kanser seimbang, beza banding 10 tahun lalu
Presiden Pusat Sumber Autisme Kebangsaan (NARC), Profesor Dr. Nursuriati Jamil
Tambah pensyarah di Kolej Pengkomputeran, Infomatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor itu, terdapat aplikasi mudah alih yang direka khas untuk membantu menjejaki lokasi kanak-kanak autistik.
Katanya, sesuai dengan peredaran masa, ibu bapa dan penjaga juga boleh memuat turun aplikasi ini ke telefon pintar dan menggunakan fungsi GPS untuk mencari lokasi kanak-kanak berkenaan.
"Selain itu, penggunaan teknologi GPS untuk menjejaki lokasi kanak-kanak autistik yang berisiko hilang membantu memberikan ketenangan fikiran kepada keluarga serta membolehkan tindakan segera diambil jika kejadian tidak diingini itu berlaku.
"Ia mudah didapati di pasaran dan harganya juga berpatutan. Ibu bapa yang mempunyai anak istimewa boleh membeli peranti pengesan GPS secara dalam talian.
"Selain peranti pengesan GPS, anda juga boleh membeli jam pintar (smart watch) yang mempunyai alat pengesan GPS," katanya lagi.
Jelasnya lagi, beberapa sistem GPS membolehkan penjaga mengakses maklumat lokasi kanak-kanak autisme dari jarak jauh melalui laman web atau aplikasi mudah alih.
"Ini membolehkan mereka untuk memantau pergerakan kanak-kanak dan bertindak dengan cepat jika menyedari kehilangan anak istimewa itu," jelasnya.
Beberapa sistem GPS membolehkan penjaga mengakses maklumat lokasi kanak-kanak autisme dari jarak jauh melalui laman web atau aplikasi mudah alih. — Gambar hiasan
Tambah Nursuriati lagi, pada Mac lalu NARC, Kolej Pengkomputeran, Informatik, dan Matematik (KPPIM) telah bekerjasama dengan Pusat Rehabilitasi dan Intervensi Kizzu Kids Shah Alam memperkenalkan saringan perkembangan kanak-kanak berasaskan aplikasi mudah alih kepada guru tadika.
"Dikenali sebagai Kesedaran Intervensi Awal Kanak-Kanak (KiK), aplikasi ini dibangunkan oleh pusat berkenaan bertujuan untuk mengesan isu perkembangan awal, terutamanya pada kanak-kanak autisme," katanya.
Katanya, saringan merangkumi kognitif, skil motor, ucapan, dan kemahiran sosial, serta perkembangan emosi itu diharap dapat membantu pendidik lebih memahami dan menyokong keperluan kanak-kanak itu.
"Pada masa sama, ia mampu membantu menyelaraskan intervensi berdasarkan pengesanan awal menerusi saringan yang menggunakan alat digital itu," katanya.
Selain itu terdapat juga aplikasi yang direka khas untuk membantu kanak-kanak autisme dalam pembelajaran, komunikasi, dan perkembangan sosial.
Berikut adalah beberapa aplikasi sesuai untuk kanak-kanak autisme:
Proloquo2Go: Merupakan aplikasi komunikasi augmentatif dan alternatif yang membantu kanak-kanak yang mengalami kesukaran dalam berkomunikasi. Aplikasi ini menyediakan gambar dan simbol yang boleh disentuh untuk membantu mereka berkomunikasi dengan orang lain.
Autismate: Aplikasi ini direka khas untuk membantu dalam perkembangan kemahiran sosial dan komunikasi kanak-kanak dengan autisme. Ia menyediakan pelbagai aktiviti interaktif dan latihan untuk membantu mereka memahami ekspresi wajah, bahasa badan, dan kemahiran komunikasi lainnya.
See.Touch.Learn.: Aplikasi pembelajaran yang menawarkan pelbagai aktiviti dan permainan untuk membantu kanak-kanak autisme memperoleh kemahiran sosial, kognitif, dan pengurusan tingkah laku.
Choiceworks: Aplikasi ini membantu kanak-kanak dengan autisme dalam mengatur jadual harian, menjalankan rutin harian, dan memahami peralihan aktiviti. Ia menggunakan gambar dan jadual yang mudah difahami untuk membantu mereka menguruskan diri.
Terdapat juga aplikasi yang direka khas yang boleh dimuat turun untuk membantu kanak-kanak autisme dalam pembelajaran, komunikasi, dan perkembangan sosial.
Brain Parade: Aplikasi ini membolehkan pengguna mencipta koleksi gambar, pernyataan, dan rakaman suara untuk membantu dalam pengajaran dan komunikasi dengan kanak-kanak autisme.
Autism Tracker Pro: Aplikasi ini membantu ibu bapa dan penjaga untuk memantau perkembangan dan tingkah laku anak-anak mereka dengan autisme. Ia membolehkan pengguna merekodkan data dan maklumat penting untuk dijadikan rujukan.
Untuk rekod, NARC merupakan pusat sumber maklumat yang berperanan sebagai titik pusat untuk menyediakan sokongan dan maklumat kepada individu yang mempunyai autisme dan keluarga mereka.
Sebagai pusat sumber maklumat yang komprehensif, NARC menyediakan pelbagai perkhidmatan dan bantuan sokongan kepada golongan autisme. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram