[VIDEO] NGO sokong usaha Nasom, akui penubuhan SAVe demi masa depan individu autisme


  • Massa
  • Khamis, 13 Jun 2024

Penubuhan SAVe dalam negara telah menerima sokongan penuh daripada ibu bapa dan NGO yang hadir dalam perbincangan meja bulan yang dikendalikan oleh NASOM pada bulan lalu.

PENUBUHAN Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) di Malaysia telah menerima sokongan penuh daripada ibu bapa dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang hadir dalam perbincangan meja bulat yang dikendalikan oleh Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom) baru-baru ini.

Para ibu bapa dan NGO ini percaya bahawa inisiatif ini akan memberi manfaat besar kepada komuniti autisme di negara ini.

Menurut Naib Pengerusi Nasom, Mohd Nazrul Mohd Amin, perbincangan meja bulat itu telah dihadiri lebih 50 peserta mewakili ibu bapa dan NGO kanak-kanak istimewa.

BACA LAGI: Risau meninggal dunia dahulu, ibu bapa harap Perkampungan Autisme Pintar (SAVe) segera jadi realiti

BACA LAGI: Peranti dan aplikasi pintar lengkapkan operasi SAVe, kaedah terbaik jejak anak autistik — NARC

"Sokongan daripada ibu bapa serta NGO dalam perbincangan ini menunjukkan betapa pentingnya inisiatif seperti SAVe dalam meningkatkan kualiti hidup dan masa depan individu dengan autisme di Malaysia.

"Penubuhan perkampungan pintar ini juga mencerminkan komitmen Nasom dan pihak berkaitan dalam memperjuangkan hak dan kebajikan komuniti autisme di negara ini.

"Sehubungan itu, saya mewakili ibu bapa dan juga NGO yang lain meminta supaya suara kami didengar oleh kerajaan dalam merealisasikan penubuhan SAVe ini secepat mungkin.

"Sudah tentunya SAVe ini bukan sahaja untuk kami tetapi masa depan kanak-kanak dan remaja autisme di masa akan datang," katanya kepada Majoriti.

Tambah beliau lagi, perkampungan pintar ini dijangka menyediakan persekitaran yang lebih inklusif dan menyokong bagi individu dengan autisme.

"Perkampungan ini akan menawarkan sekolah dan pusat pendidikan yang khusus untuk individu dengan autisme, dengan program dan kaedah pengajaran yang disesuaikan mengikut keperluan mereka.

"Selain itu, perkampungan ini akan menyediakan pusat terapi dan perkhidmatan sokongan untuk membantu perkembangan dan kesejahteraan individu dengan autisme, termasuk terapi pertuturan, terapi pekerjaan, dan kaunseling, selain latihan kemahiran.

"Untuk makluman, perkampungan itu akan direka dengan mengambil kira keperluan unik individu dengan autisme, termasuk ruang yang selesa dan tenang, serta persekitaran yang selamat dan teratur.

"Pada masa sama, perkampungan ini akan membentuk komuniti yang inklusif di mana ahli keluarga, penjaga, dan profesional boleh bekerjasama dalam menyediakan persekitaran yang terbaik untuk individu dengan autisme,"katanya.

Untuk makluman, penubuhan SAVe bertujuan untuk mencipta persekitaran yang memahami dan menerima keperluan individu dengan autisme, sambil memberikan sokongan yang diperlukan untuk membantu mereka mencapai potensi maksimum mereka.

Ini adalah inisiatif yang sangat penting dalam meningkatkan kualiti hidup individu dengan autisme dan keluarga mereka, sambil mengurangkan stigma dan meningkatkan kesedaran tentang autisme dalam masyarakat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram