[VIDEO] Hampir setahun berlalu, Suhadah kesal pemandu Toyota Vios tukar kenyataan, masih belum dapat tuntut insurans


  • Massa
  • Ahad, 23 Jun 2024

Malang buat satu keluarga apabila terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands pada 9 Disember lalu.

MALANG buat satu keluarga apabila terpaksa menanggung kerugian lebih RM100,000 selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands pada 9 Disember lalu.

Meskipun sudah enam bulan berlalu, mangsa, Nurul Suhadah Mohd Sukur, 37, dan suami, Mohamad Farid Mohamad Arshad, 40, berserta empat anaknya masih menghidapi trauma akibat kemalangan itu.

Lebih parah, pasangan suami isteri tersebut terpaksa menanggung kerugian sendiri disebabkan kes masih belum selesai dan pemandu yang merempuh kereta mereka mengaku tidak bersalah.

BACA LAGI: [VIDEO] Teman lelaki meraung, kekasih Rusia ditelan ombak depan mata

BACA LAGI: [VIDEO] Kes suami bunuh isteri, adik dedah mangsa dilarang jumpa keluarga sejak 2022

"Perkembangan terkini, sepatutnya keputusan laporan kami dah selesai sebab sebelum ini IO (pegawai penyiasat) maklumkan proses ambil masa sebulan sahaja, tapi sekarang sudah enam bulan masih belum selesai.

"Keputusan laporan ini kami mahu gunakan untuk tuntut kembali diskaun tanpa tuntutan (NCD) kami yang dah jadi kosong.

"Pihak insurans kata mereka sudah terima dokumentasi daripada pihak sana (pemandu Toyota Vios) sedangkan daripada pihak kami kata tak siap lagi. Tidak tahulah mana dia dapat," katanya kepada Majoriti.

Mengimbau semula detik hitam itu, Suhadah berkata, kejadian berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan menuju ke Cameron Highlands dari Pulau Pinang untuk bercuti.

Kongsinya, dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, sebuah kenderaan jenis Toyota Vios secara tiba-tiba datang dari arah bertentangan lalu merempuh keretanya.

"Kejadian berlaku sangat mendadak dan kami memang tidak sempat nak elak.

"Ikut alasan dia (pemandu) kata langgar pasir, tapi ramai saksi dari atas dah nampak dia memandu sangat laju sampai lajak makan laluan sebelah.

"Waktu itu pukul 7 malam, kami semua tidur tidak sampai 10 minit, saya sedar-sedar ada bunyi hentaman kuat dan muka terasa kebas," jelasnya.

Perunding hartanah itu memberitahu, mereka sekeluarga kemudian dibawa ke Hospital Besar Ipoh untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, mereka dibantu orang ramai yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

"ALLAH uji tapi Dia selamatkan kami. Anak-anak semua tiada yang tercampak keluar (asbab kerusi keselamatan kanak-kanak).

"Ramai yang berhenti dengan niat ikhlas nak tolong. Mereka kumpulkan barang kami, mereka usaha bertungkus-lumus selamatkan kami dan anak-anak yang tersepit dalam kereta, cuma suami saja perlu tunggu bomba potong.

"Alhamdulillah juga ada pembahagi jalan batu di situ dan kereta berhenti betul-betul penghujung pembahagi jalan. Gerak sikit sahaja dah masuk gaung. Allahuakbar...," luahnya.

Kemalangan itu turut menyebabkan kesemua ahli keluarga Suhadah mengalami kecederaan parah.

"Suami saya patah paha manakala anak, Qaseh Izara Sofea cedera teruk di muka (pecah), Hijazi Yusuf (kerosakan hati) dan Hijazi Ali (patah bahu) dan saya sendiri mulut pecah kena 11 jahitan serta cedera di kaki," kongsinya lagi.

Difahamkan, berdasarkan kenyataan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, pemandu Toyota Vios itu mengakui, kemalangan tersebut berlaku disebabkan keadaan jalan raya yang licin.

"Semasa laporan, dia tukar kenyataan, (katanya) sebab jalan licin lepas hujan, padahal tidak ada hujan pun (semasa kejadian)," tambahnya lagi.

Suhadah dalam pada itu turut berharap agar mana-mana individu yang menyaksikan kejadian tersebut dapat menghubunginya bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram