[VIDEO] Masalah bekalan air bersih, banjir kilat antara isu perlu perhatian calon PRK Sg Bakap untuk tambat hati pengundi


  • Politik
  • Selasa, 18 Jun 2024

Joohari Ariffin (kanan) dan Abidin Ismail (kiri) bersama jentera parti mereka perlu bekerja keras demi menawan hati pengundi di Sungai Bakap.

PILIHAN Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua parti politik utama negara.

Apatah lagi, kedua-dua calon yang mewakili parti masing-masing itu merupakan anak jati di kawasan tersebut.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di bawah Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Joohari Ariffin, 60, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala Perikatan Nasional (PN) menamakan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, Abidin Ismail, 56, sebagai calon mewakili mereka.

BACA LAGI: PRK Sungai Bakap bukan pertandingan individu, medan uji ideologi dan parti

BACA LAGI: PKR ada kelebihan jika ikut trend, PAS perlu elemen lain pertahan Sungai Bakap

448262667_10161113672597696_7714038083222105255_n

Profil Abidin Ismail.

Walaupun kedua-dua calon itu dilihat mempunyai kelebihan masing-masing namun ia bukanlah pengukur utama untuk menentukan kemenangan mereka di kawasan tersebut.

Hal ini kerana, apa yang diperlukan masyarakat setempat ialah seorang wakil rakyat yang bukan sahaja lantang tetapi responsif terhadap keperluan pengundi.

Bukan itu sahaja, PRK kali ini merupakan peluang untuk penduduk menuntut agar keperluan dan kemudahan mereka dipenuhi.

Ia termasuk infrastruktur jalan raya yang baik, air dan elektrik, perkhidmatan pusat kesihatan, pengangkutan awam, banjir, pendidikan serta kebajikan.

Sehubungan itu, kedua-dua calon tersebut bersama jentera parti mereka perlu peka dan pantas menjalankan tugas untuk menawan hati pengundi.

Hasil tinjauan Majoriti di media sosial mendapati, antara masalah yang sering diajukan penduduk di Sungai Bakap adalah isu gangguan bekalan air di kawasan itu.

Difahamkan, masalah bekalan air yang dihadapi kira-kira 1,500 akaun pengguna di Mukim 5 Sungai Bakap bukanlah isu baharu namun sudah berlarutan sejak penghujung tahun 2018.

448440320_10161113702172696_6310478294955620443_n

Profil Joohari Ariffin.

Melalui laman Facebook Perjuangan Menuntut Hak Air Bersih Di Mukim 5 Sg Bakap SPS Pulau Pinang, kebanyakan penduduk meluahkan rasa kesal apabila permasalahan itu masih belum ada penyelesaian sehingga ke hari ini.

"Kami penduduk Mukim 5 di DUN Sungai Bakap tidak menolak projek jangka masa panjang yang diumumkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

"Namun, kami juga mahu minta sedikit empati. Bukankah kalian tahu sudah masuk tahun keenam kami berhadapan dengan masalah air ini?

"Jika dilihat pada projek skala pendek dan sederhana di Mukim 5, masih belum dapat menyelesaikan masalah air penduduk di sini.

"Adakah kami perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hingga lima tahun lagi untuk menyelesaikan masalah air yang telah pun menjangkau usia enam tahun?" tulis pentadbir laman Facebook berkenaan.

Selain masalah air, antara isu lain yang dihadapi penduduk sekitar Sungai Bakap ialah masalah banjir kilat yang kerap melanda beberapa lokasi seperti Kampung Jalan Stesen, Titi Hitam, Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau dan Kampung Changkat Dain.

Difahamkan kejadian banjir kilat itu berlaku akibat limpahan air Sungai Baong yang tidak dapat mengalir ke Sungai Jawi.

Walaupun sebelum ini media melaporkan DUN Sungai Bakap, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Pengairan dan Saliran Pulau Pinang (JPS PP) telah memperuntukkan RM600,000 bagi pelaksanaan tiga projek mitigasi banjir jangka pendek di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau namun ada yang berpendapat ia tidak akan menyelesaikan masalah banjir.

Selain itu, kedua-dua calon tersebut juga harus mengambil kira pembangunan ekonomi, infrastruktur, dan kesejahteraan sosial penduduk di Sungai Bakap.

2681530

Selain masalah air, antara isu lain yang dihadapi penduduk sekitar Sungai Bakap ialah masalah banjir kilat yang kerap melanda di kawasan tersebut.

Kerusi Sungai Bakap telah dikosongkan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri pada 24 Mei lalu.

Nor Zamri meninggal dunia di Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya selepas dirawat lebih tiga minggu kerana komplikasi perut.

Nor Zamri dari Pas yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri lalu menentang calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose menang dengan majoriti 1,563 dengan mendapat undian 15,433.

Susulan daripada itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Sungai Bakap akan diadakan pada 6 Julai ini.

Sementara penamaan calon pula ditetapkan pada 22 Jun iaitu Sabtu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram