[VIDEO] Sempat lepas satu das, geng perompak berani mati samun kedai emas di Plaza Metro Kajang siang-siang buta


  • Tular
  • Isnin, 17 Jun 2024

Tangkap layar memaparkan sekumpulan penjenayah bertindak merompak sebuah kedai emas di Plaza Metro Kajang dekat Kajang, Selangor pada Isnin.

SEKUMPULAN penjenayah bertindak merompak sebuah kedai emas di pusat beli-belah Plaza Metro Kajang dekat Kajang, Selangor sebelum berjaya melarikan sejumlah barang kemas pada Isnin.

Suspek didakwa memasuki premis dengan memakai topi keledar dan jaket berlengan panjang dan hanya mengambil masa beberapa minit untuk merompak premis berkenaan.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul pukul 3.17 petang Isnin itu bagaimanapun tular di media sosial apabila orang ramai sempat merakam video kejadian itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Perompak sempat sapa 'aunty' sebelum samun tiga beranak di Mentakab

BACA LAGI: 'Saudara datang pukul 3 pagi', MB Selangor balas dakwaan gagal urus isu sampah di Hulu Langat

Rakaman tersebut menunjukkan tindakan tiga individu memecahkan kaca kabinet paparan barang kemas menggunakan senjata kapak yang dibawa mereka.

Rompakan tersebut membabitkan premis yang terletak di aras dua pasar raya berkenaan.

Difahamkan salah seorang daripada mereka mempunyai objek serupa senapang sekali gus menyebabkan keadaan di pasar raya itu menjadi tegang.

Dalam satu perkongsian video lain, seorang lelaki didapati berada dalam keadaan berlumuran darah sambil dibantu beberapa individu lain.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohamad Nasir Drahman mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, rompakan dilaporkan berlaku pada pukul 3.17 petang dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang menerima laporan awam berhubung kejadian pada pukul 3.30 petang.

"Siasatan mendapati rompakan didalangi empat lelaki yang dilihat memakai baju seakan pengawal keselamatan, bertopeng dan bersarung tangan gelap.

"Suspek didapati bersenjatakan dua pistol dan selaras senapang dengan seorang daripada mereka melepaskan satu das tembakan ke arah dinding premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, ketika kejadian, suspek memecahkan cermin kaca tempat simpanan emas menggunakan tukul besi sambil mengambil barang kemas.

"Kesemua suspek kemudian melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah bangunan. Jumlah kerugian yang dialami pemilik kedai emas masih dalam siasatan dan belum dapat disahkan.

"Pihak polis masih menjalankan siasatan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam bangunan, selain merakam percakapan beberapa saksi kejadian.

"Bagi sesiapa yang mempunyai maklumat berkait kejadian tersebut, kita minta mereka tampil kepada pihak polis untuk membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, saksi boleh menghubungi mana-mana balai yang berdekatan atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-2446768.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjatapi 1971 (Penalti Lebih Berat) yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mati walaupun tidak membabitkan kecederaan mahupun kematian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram