[VIDEO] KPDN serbu premis didakwa naikkan harga tong gas lepas penyasaran subsidi diesel di Puchong


  • Tular
  • Khamis, 13 Jun 2024

Tangkap layar seorang peniaga mendakwa dia terpaksa menaikan harga tong gas petroleum cecair (LPG) di luar harga kawalan susulan daripada langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan bermula Isnin.

SEORANG peniaga mendakwa dia terpaksa menaikan harga tong gas petroleum cecair (LPG) di luar harga kawalan susulan daripada langkah penyasaran subsidi diesel oleh kerajaan bermula Isnin.

Peniaga itu menerangkan dia terpaksa menaikan harga tong gas tersebut ekoran selepas disoal seorang lelaki dipercayai pelanggan peniaga tersebut.

"Harga tong gas RM35, naik RM4 sekarang sebab harga diesel naik RM3.35.

"Sebab itu harga tong gas naik sekali," kata peniaga tersebut.

BACA LAGI: Syarikat bas, pembinaan jamin rasionalisasi subsidi diesel bukan alasan naikkan harga

BACA LAGI: Prosedur tuntut subsidi diesel, KPDN ingatkan simpan resit jika belum terima ‘fleet card’

Pelanggan itu juga turut merakam perbualan mereka namun tidak dinyatakan tarikh dan lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

Video yang dimuat naik di laman sosial media X (Twitter) pada Khamis turut mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Malah ada yang turut menasihatkan lelaki berkenaan membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dan Kementerian Kewangan berhubung isu tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung video tular tersebut dengan sepasukan anggota penguat kuasa telah melakukan siasatan kira-kira pukul 4 petang Sabtu.

"Pasukan serbuan telah bertindak melakukan uji beli ke atas LPG yang dijual oleh syarikat terbabit bagi mengenal pasti harga jualan sebenar LPG tersebut.

"Hasil daripada uji beli yang dilakukan mendapati, LPG berkapasiti 14kg telah dijual pada harga jualan RM34.00 satu tong berbanding harga kawalan yang telah ditetapkan Kerajaan iaitu RM26.60 bagi LPG berkapasiti 14kg.

"Pasukan serbuan telah bertindak melakukan sitaan ke atas LPG terbabit selain beberapa dokumen perniagaan lain bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan berjadual iaitu LPG 14kg melebihiharga kawalan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, KPDN telah melaksanakan OPS KESAN 2.0 bagi menghadapi sebarang impak berikutan penyasaran subsidi diesel untuk memastikan tiada elemen pencatutan berlaku dan mematuhi sepenuhnya perundangan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan akan dikenakan tindakan yang tegas terutamanya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi syarikat manakala sehingga RM100,000 bagi individu atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram