Tiada kos tambahan, sukarelawan guru Singapura ditempatkan di luar bandar dan pedalaman


  • Primer
  • Khamis, 20 Jun 2024

Cadangan kerajaan bertujuan untuk meningkatkan lagi penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia. — Gambar hiasan/The Star

MENTERI Pendidikan, Fadhlina Sidek mengesahkan kerajaan menyambut baik cadangan menjemput sukarelawan Singapura bagi tujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa inisiatif itu tidak akan melibatkan sebarang kos tambahan seperti yang didakwa sesetengah pihak dengan mengatakan ia hanya dilihat sebagai bukti hubungan diplomatik kukuh dengan Singapura.

Fadhlina berkata, kerajaan Singapura akan menampung perbelanjaan guru sukarelawan tersebut sepanjang berkhidmat di Malaysia.

BACA LAGI: 'Kelantan tiada air tapi sibuk sampai Uganda', kerja kebajikan Azman Ibrahim jadi modal berdebat

BACA LAGI: Anak jejak ibu hilang lebih 48 jam, terpisah ketika lontar jamrah di Mina

Screenshot (2130)

Fadhlina ketika menghadiri Majlis Pelancaran Program Sekolah Pengajar dan Sahabat Bahasa di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Khamis. — The Star

Beliau percaya bahawa inisiatif itu akan memberikan pendedahan berharga sekali gus menjadikan sistem pembelajaran yang berkesan serta pendekatan inovatif untuk pelajar, guru dan sekolah.

"Program yang melibatkan pertukaran guru dengan negara luar seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat mempunyai sejarah panjang dalam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya pada Khamis.

Fadhlina menjelaskan, guru sukarelawan dari Singapura akan berkhidmat dan ditempatkan di kawasan bandar, luar bandar, dan pedalaman yang kurang berkemampuan, termasuk Sabah dan Sarawak.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan cadangan membawa tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura hanya sebagai sukarelawan bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa berkenaan di kawasan pedalaman.

Menurutnya, cadangan tersebut dianggap sebagai skim bantuan daripada segi diplomasi antara negara dan bukan bermaksud Malaysia bertindak melantik guru bahasa Inggeris dari republik berkenaan. — The Star/IMRAN HILMY

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram