Cikgu perlu berpada-pada buat 'content' mengajar elak warga maya melatah — Persatuan guru


  • Massa
  • Khamis, 18 Apr 2024

Tangkap layar video tular seorang guru lelaki sedang rancak menari dan menyanyi dalam sebuah bilik kelas sambil mengajar.

PARA pendidik dinasihati agar berpada-pada dan tidak memuat naik video yang kurang sesuai ketika melakukan ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik kelas di media sosial.

Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Juhari Mohamad Nor berkata, tindakan sesetengah guru menggunakan kreativiti masing-masing menyanyi sambil menari bagi mencipta suasana yang lebih ceria tidak salah tetapi boleh mengundang fitnah dalam kalangan masyarakat.

"Saya sendiri sebenarnya sebagai guru bersetuju dan sangat menggalakkan para pendidik menggunakan pelbagai kaedah yang kreatif dalam sesi pembelajaran namun perlu berhati-hati.

"Mereka harus sedar, orang awam terutamanya ibu bapa tidak tahu apa yang berlaku di dalam kelas dan sesi PdP," katanya kepada Majoriti pada Khamis.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Elak fitnah sebelum jadi parah,' guru boleh jadi kreatif tapi tak perlu muat ke media sosial

BACA LAGI: Sudah 12 tahun KPM asyik bertukar tangan, warga pendidik bimbang alami masalah mental terjejas akibat idME

Terdahulu, Majoriti melaporkan tular satu video di laman media sosial memaparkan seorang guru lelaki sedang rancak menari dan menyanyi dalam sebuah bilik kelas sambil mengajar.

Video tarian yang berlatar-belakangkan alunan lagu Alamak Raya Lagi kumpulan De Fam tersebut menarik perhatian ramai.

Walaupun ia dilihat kreatif dan ramai yang memuji guru itu kerana menarik perhatian anak muridnya dalam kelas namun tindakan guru berkenaan turut menimbulkan rasa kurang senang dalam warga maya.

Merujuk kepada video berkenaan, Junhairi berkata, setiap guru juga harus menggunakan kaedah yang bersesuaian dengan subjek yang diajar.

"Tiada yang salah mengenai video itu, kita hanya melihat seorang guru yang bersungguh-sungguh mengajar anak muridnya dengan cara yang kreatif.

"Dan dia berkemungkinan seorang guru muzik. Mungkin ada warga maya yang salah tafsir dan membuat kesimpulan melulu.

"Cuma nasihat saya ialah, setiap guru perlu bersederhana dalam mengajar dan tidak keterlaluan membuat rakaman video ketika mengajar dalam kelas.

"Ikut kesesuaian topik yang diajar agar tidak mengundang kecaman dalam masyarakat," ujarnya.

BACA LAGI: Upgrade segera sistem 'sampah' IDME atau lantik golongan siswazah masukkan data pelajar

2498285

Presiden KGMMB, Juhairi Mohamad Nor

Juhairi juga turut menasihati orang awam agar tidak mudah melatah dan membuat spekulasi berhubung video tersebut sehingga menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan pendidik.

"Selidik terlebih dahulu video berkenaan, jangan terlalu mudah menghukum.

"Masalah yang kita hadapi sekarang ialah kita berdepan dengan orang awam kurang faham dengan sistem pembelajaran dalam bilik kelas.

"Cikgu tersebut mungkin mengajar anak muridnya tentang perayaan dan menggunakan lagu tersebut sebagai mukadimah.

"Warga maya hanya melihat sebahagian sahaja video tersebut dan terus membuat andaian sendiri tetapi tidak menilai keseluruhan rakaman," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram