[VIDEO] 'Elak fitnah sebelum jadi parah,' guru boleh jadi kreatif tapi tak perlu muat ke media sosial


  • Massa
  • Khamis, 18 Apr 2024

Tangkap layar seorang guru lelaki lelaki sedang rancak menari dan menyanyi dalam sebuah bilik kelas sambil mengajar.

BAGI mengelakkan pelajar merasa mudah jemu, ramai guru sudah mula beralih mengikut trend generasi muda ketika ini yang gemar menggunakan muzik dan menari untuk berinteraksi.

Malah ada dalam kalangan guru ini menggunakan kreativiti masing-masing menyanyi sambil menari bagi mencipta suasana yang lebih ceria bagi menaikkan semangat anak didik mereka ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bilik kelas.

Terbaharu, tular di laman media sosial memaparkan seorang guru lelaki sedang rancak menari dan menyanyi dalam sebuah bilik kelas sambil mengajar.

Video tarian yang berlatar-belakangkan alunan lagu Alamak Raya Lagi kumpulan De Fam tersebut menarik perhatian ramai.

Difahamkan, guru tersebut mengajar murid sekolah rendah namun tidak dinyatakan lokasi sebenar.

Melalui video berdurasi kurang seminit itu turut menjadi perdebatan dalam kalangan ibu bapa.

Walaupun ia dilihat kreatif dan ramai yang memuji guru itu kerana menggalakkan anak muridnya menyanyi sekali sambil belajar namun tindakan guru berkenaan turut menimbulkan rasa kurang senang dalam warga maya.

Ini kerana ada yang berasakan tarian cikgu berkenaan dilihat tidak sesuai bagi kanak-kanak yang akan terikut-ikut dan dianggap melalaikan.

BACA LAGI: Risau kesihatan anak kembar tinggal di kuartes penuh najis burung, Cikgu Teh gesa KPM ambil tindakan segera

BACA LAGI: [VIDEO] 'Hadiah Hari Guru, dah letih buat aduan', kuarters di Negeri Sembilan penuh lipas, najis burung

Seorang warga maya Ruzaini Zamri berpendapat, dia tidak mempunyai masalah sekiranya golongan pendidik menggunakan kaedah sedemikian bagi menceriakan suasana di bilik darjah namun bersyarat.

"Saya okay kalau para cikgu gunakan pelbagai strategi untuk mengajar. Malah sangat gembira dengan kreativiti cikgu. Yang saya tak setuju, muat naik ke media sosial. Harapnya larangan terhadap rakaman, gambar dan live (siaran langsung) diingatkan lagi kepada penjawat awam. Kawasan sekolah ada undang-undang.

"Elak fitnah sebelum menjadi parah. Kita tak mahu orang yang bukan ahli pendidikan menjadi pengkritik kerjaya kita.

"Moga hasrat ini dapat difahami," katanya.

Pendapat Ruzaini itu turut dipersetujui Maestro Wan Ateh.

"Cara PdP itu sudah bagus sebagai satu kreativiti untuk menarik minat pelajar, tapi bila muat naik di media sosial, ia akan mengundang pelbagai persepsi dan akhirnya kesan negatif akan terpalit kepada semua guru," tulisnya.

Seorang lagi warga maya Hanif Abu pula mengecam tindakan cikgu berkenaan yang menggunakan lirik tersebut sebagai medium untuk mengajar.

"Aku ingat cikgu itu tukar lirik lagu formula matematik atau mata pelajaran lain untuk memudahkan murid menghafal sesuatu subjek, rupanya macam TikTok.

"Maaf... Aku sebagai ibu bapa memang sangat tidak setuju. Ini bukan nak tarik tumpuan murid tetapi melalaikan, siap gigih tulis lirik pada papan hitam..

"Banyak lagi cara lain yang sesuai untuk ceriakan dan tarik tumpuan murid. Dahulu, sekolah aku pun ada subjek muzik tetapi tak nyanyi pun lagu Anuar Zain, Wings dan lain-lain," katanya.

Dakwa Hanif lagi, tindakan cikgu berkenaan akan menyebabkan ramai pelajar tidak mahu melanjutkan pelajaran.

"Sebab itu ramai pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) malas nak masuk universiti, terus kerja nak jadi pempengaruh media sosial," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram