WARGA pendidik sekali lagi merayu pihak Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti semula penggunaan Sistem Pengurusan Identiti (idMe) yang didakwa membebankan tugasan mereka pada ketika ini.
Rata-rata ada segelintir daripada guru ini sudah mula meluahkan isu terbabit menggunakan platform media sosial.
Hal ini kerana ada dalam kalangan guru ini bimbang tidak mampu menyiapkan tugasan mengisi data pelajar sebelum penghujung Januari ini.
Malah sistem itu masih tidak boleh diakses dengan baik sejak ia dilancarkan.
Melihat kepada situasi tersebut, seorang pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Pendakwah Teknologi mencuba sendiri laman web IDME tersebut.
Ia adalah susulan dariada aduan para pendidik yang meluah perasaan kecewa di Facebook miliknya.
BACA LAGI : Upgrade segera sistem 'sampah' IDME atau lantik golongan siswazah masukkan data pelajar
Rata-rata golongan pendidik terpaksa mengambil masa yang lama untuk mengisi data dalam sistem IDME kerana sistem itu selalu tergendala. —Facebook
Pempengaruh tersebut turut mengakui sistem idMe berkenaan bermasalah dan perlu ditambah baik.
"Sistem Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) https://idme.moe.gov.my/ yang dihasilkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia nampaknya memang bermasalah.
"Kepada Menteri KPM, Fadhlina Sidek, boleh tak saya nak mohon jasa baik Yang Berhormat (YB) untuk tolong selesaikan isu ini. Sudah ramai ramai orang (cikgu) yang mengadu dan masalah ini dah berlarutan terlalu lama.
"Dalam beberapa hari lepas saya dapat mesej aduan yang menyatakan bahawa sistem ini tidak dapat diakses. Selepas saya buat posting, ada lagi beberapa individu yang membuat aduan terhadap sistem yang sama," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Khamis.
Tambahnya lagi, masalah semua sistem yang diperkenalkan KPM termasuk idMe sepatutnya diselesaikan sejak dahulu lagi.
"Apa gila masalah dari 2012 tidak diselesaikan lagi. Sekarang dah 2024, 12 tahun. iPhone sudah keluar berapa generasi sudah. Saya sendiri cuba guna sistem tersebut dan memang ada isu. sekejap boleh, sekejap tak boleh," tulisnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut berharap agar KPM dapat mengenal pasti punca masalah kepada keseluruhan sistem ini dengan mengambil kira pengurusan sistem secara keseluruhan serta kompetensi personel bagi memantapkan lagi pelaksanaan sistem tersebut.
Siti Aisyah berkata, masalah idMe yang masih tidak boleh diakses dengan baik sejak ia dilancarkan memberi kesan kepada aspek kesihatan mental warga pendidik.
"Kecewa dan hampir gila kadang-kadang. Jujur saya cakap, nak isi data iDME ini tak pernah selesai dan meletihkan sehinggakan saya tiada masa bersama keluarga," tulisnya.
Seorang lagi warga maya, Mohamad Yazid meninggalkan komen yang sinis terhadap kementerian tersebut.
"Apa sahaja sistem kalau melibatkan KPM sejak azali memang menyusahkan. Aku sudah berkahwin sejak 11 tahun dan sejak itulah sistem asyik bertukar-tukar tapi tiada peningkatan,"katanya.
Untuk rekod, idMe merupakan sistem pengurusan identiti bagi pengguna KPM. Ia termasuklah pengguna daripada kakitangan dari Kementerian lain, agensi, institusi swasta, ibu bapa, pelajar, pendidik, pengusaha institusi pendidikan dan orang awam.
Sistem ini diwujudkan bertujuan menjadi medium utama untuk menyimpan dan mengesahkan identiti pengguna KPM.
Bukan itu sahaja, ia juga merupakan pemangkin utama untuk Single Sign-On (SSO) yang membolehkan semua sistem membuat pengesahan pengguna bagi mengelakkan berlakunya duplikasi pengguna dalam sistem pengurusan identiti.
idMe ini menjadi laman utama untuk log masuk ke Modul-modul Sistem Bersepadu KPM yang dikenali dengan MOEIS. Antara sistem yang boleh diakses menerusi sistem pengurusan identiti ialah sistem pengurusan awam, sistem pengurusan murid, sistem pengurusan institusi, sistem pengurusan pentaksiran, sistem pengurusan guru dan sistem penubuhan dan pendaftaran institusi.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram