[VIDEO] Remaja maut kereta elektrik mewah terbabas, saksi dakwa kenderaan dipandu laju di DUKE


  • 112
  • Isnin, 15 Apr 2024

Anggota bomba sedang memadamkan kebakaran sebuah kereta dalam kejadian di DUKE dekat Taman Setiawangsa pada Khamis. — Facebook/Orang Awam

SEORANG lelaki maut manakala rakannya cedera apabila kereta dinaiki terbabas sebelum terbakar dalam kejadian di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dekat Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh dilaporkan berkata, kereta dipandu mangsa berusia 19 tahun itu dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan dalam kejadian pada pukul 2.10 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa lelaki itu memandu dari arah Jalan Duta ke Plaza Tol Air Panas dan kenderaan hilang kawalan di tempat kejadian.

"Impak kemalangan menyebabkan kenderaan terbabit terbakar di tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, pemandu terbabit disahkan maut di lokasi, manakala teman wanitanya berusia 19 tahun mengalami retak tulang pinggul dan dikejarkan ke hospital bagi rawatan lanjut.

"Akibat kemalangan, pemandu mengalami kecederaan di pinggul serta terbakar di bahagian kanan badan dan disahkan maut oleh pasukan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di tempat kejadian," katanya pada Isnin.

Tambahnya lagi, siasatan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA LAGI : [VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka

Sementara itu, seorang saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai @harim_personalshopper melalui akaun TikTok peribadinya mendakwa kenderaan tersebut dipandu laju sebelum kejadian.

"Ya ALLAH. Kereta yang kemalangan itu baru sahaja melepasi kami DUKE, laju sangat tadi. Sampai bergoyang kereta kami.

"Kami hanya lima minit terlambat sebelum kemalangan itu terjadi dan bila kami sampai di sana, kami nampak ada abang ini bawa mangsa ke tepi.

"Waktu itu kereta sudah terbakar. Semoga semuanya selamat. Amin" tulisnya.

Dalam perkembangan lain, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Anuar Ali berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kebakaran sebuah kereta pada pukul 2.13 pagi.

"Seramai lima anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis BMW 17 dan didapati 100 peratus terbakar," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI : [VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki

WhatsApp Image 2024-04-15 at 12.36.05

Tangkap layar kenyataan saksi kemalangan. — @harim_personalshopper

Katanya, dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang kereta terbabit terlibat dalam kejadian.

"Seorang mangsa lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian.

"Bagaimanapun mangsa wanita dewasa yang mengalami kecederaan parah dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.

Menurutnya, punca kebakaran masih belum dikenal pasti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram