[VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki


  • Tular
  • Jumaat, 12 Apr 2024

Seorang wanita dan bayinya maut manakala suami dan seorang lagi anaknya cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan berat di Bandar Penawar, Johor pada Jumaat.

SEORANG wanita dan bayinya dipercayai maut manakala suami dan seorang lagi anaknya cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan kenderaan berat di sebuah jalan raya di Seri Penawar menuju Ladang Siang dekat Bandar Penawar, Johor pada Jumaat.

Turut tular beberapa gambar dan video memaparkan kemalangan ngeri terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki mengamuk anak dan isteri cedera sampai berdarah tercampak dari ‘sotong ride’ di Taiping

Melalui maklumat awal yang dikongsikan, kemalangan itu melibatkan satu keluarga yang menaiki sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi dan lori tangki minyak.

"Empat orang satu keluarga. Ibu dan anak meninggal di tempat kejadian.

"Ayah dan seorang lagi anak cedera ringan," tulis individu tersebut.

Melalui gambar yang dikongsikan, kereta yang dinaiki mangsa remuk teruk pada bahagian kiri.

Dalam pada itu, pusat gerakan operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor mengesahkan mengenai kejadian itu dengan pihaknya menerima panggilan berhubung nahas terbabit pada pukul 1.38 minit tengahari.

Dua mangsa yang maut ialah Najwa Nurshahira Kamaruzaman, 28, dan anaknya Felkah Nurnadeera 3 bulan.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Khas Untuk Penyandang (KUP) Azlan Mat Sani berkata, sebaik tiba dilokasi seorang wanita di tempat penumpang hadapan didapati tersepit bersama bayinya yang berusia tiga bulan.

“Anggota bomba terpaksa menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan ibu dan anak terbabit. Malangnya kedua-dua mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai kesihatan (KKM) yang berada dilokasi selepas dikeluarkan,” katanya.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dengan punca kejadian juga masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Pada masa sama, beliau berkata, kemalangan itu turut mengakibatkan tiga lagi individu cedera terdiri daripada pemandu yang juga suami kepada mangsa yang berumur 30 tahun dan dua lagi anaknya masing-masing 5 dan 8 tahun.

Mereka kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Pemandu lori berumur 34 tahun yang terlibat dalam nahas itu tidak mengalami sebarang kecederaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram