[VIDEO] Bayi cedera, 5 maut kejadian lelaki tikam orang awam di pusat beli-belah sesak


  • Benua
  • Sabtu, 13 Apr 2024

Empat orang dilaporkan maut dalam serangan tikaman di pusat membeli-belah Westfield Bondi Junction dekat Sydney, Australia pada Sabtu. — Agensi

SEORANG bayi dilaporkan antara yang cedera selepas beberapa orang ditikam di pusat beli-belah Westfield Bondi Junction di Sydney, Australia pada Sabtu.

Media antarabangsa The Sydney Morning Herald melaporkan lima orang maut dalam kejadian tikaman itu.

Perkhidmatan kecemasan telah dipanggil ke Westfield Bondi Junction sejurus kejadian pada pukul 4 petang (waktu tempatan) berikutan laporan itu, kata Polis New South Wales dalam satu kenyataan.

"Orang ramai digesa untuk mengelak kawasan terbabit.

"Siasatan diteruskan berhubung kejadian itu dan tiada butiran lanjut setakat ini," kata kenyataan itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Ibu, bayi meninggal dunia kereta remuk terperosok bawah lori tangki

BACA LAGI: [VIDEO] 'Allahuakbar', saksi nampak rider terpelanting rempuh Black Maria di Melaka

Sementara itu, Ambulans New South Wales memberitahu AFP bahawa seorang lelaki telah ditembak mati oleh polis. Dia dipercayai salah seorang penyerang.

Bagaimanapun, motifnya tidak jelas.

Manakala, dua saksi memberitahu Reuters mereka mendengar beberapa das tembakan telah dilepaskan.

"Walaupun 20 minit selepas orang ramai dikejarkan keluar dari pusat beli-belah, saya melihat pasukan SWAT memenuhi laluan," kata salah seorang saksi.

Seorang saksi berkata mereka melihat seorang wanita terbaring di atas lantai dan ada yang berlindung di sebuah kedai barang kemas.

Polis negeri New South Wales berkata, operasi polis sedang dijalankan tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Seorang jurucakap NSW Ambulance berkata, terdapat dua orang suspek dan seorang daripada mereka telah ditembak polis sementara seorang lagi masih diburu.

Beberapa catatan di media sosial menunjukkan orang ramai melarikan diri dari pusat beli-belah dan kereta polis serta perkhidmatan kecemasan bergegas ke kawasan itu. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram