Warga emas rugi RM485,000 terpedaya panggilan 'pegawai polis' di Kerian


  • Massa
  • Selasa, 12 Sep 2023

Kes panggilan penipuan atau 'scam' boleh mengakibatkan mangsa kerugian wang dan harta dalam sekelip mata.

SEORANG wanita warga emas di daerah Kerian, Ipoh mengalami kerugian RM485,000 akibat terpedaya dengan penipuan panggilan telefon atau ‘phone scam’ yang menyamar sebagai pegawai polis

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 72 tahun itu yang merupakan seorang pesara swasta, membuat laporan polis pada pukul 11.40 pagi pada Isnin.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dihubungi oleh seorang lelaki pada 4 Ogos (Jumaat), yang mendakwa dari sebuah syarikat penghantaran kononnya mangsa ada membuat penghantaran bungkusan yang tidak berjaya dihantar kepada penerima.

"Suspek turut memaklumkan bungkusan tersebut mengandungi kad kredit, cip kad pengenalan dan kad ATM. Mangsa bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Mangsa kemudiannya telah disambungkan panggilan kepada dua individu yang menyamar sebagai pegawai polis masing-masing dari Ibu Pejabat Polis Ipoh dan Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, Selasa.

Mohd Yusri berkata, mangsa telah diperdaya dengan dituduh terlibat berkaitan kes pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram, serta diugut akan ditangkap dan dipenjarakan.

"Mangsa yang ketakutan kemudiannya telah bertindak mengikut arahan yang diberikan oleh suspek, dengan memindahkan kesemua wang milik mangsa ke dalam akaun yang diberikan suspek, bagi mengelakkan daripada wang mangsa dirampas dan dibekukan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, suspek turut berjanji untuk memulangkan wang tersebut setelah siasatan selesai dan suspek turut mengarahkan mangsa untuk tidak memaklumkan perkara ini kepada sesiapa, kononnya bagi mengelakkan siasatan terganggu.

"Bermula 8 Ogos sehingga 6 September lalu, mangsa telah melakukan sebanyak 34 kali pindahan wang di mesin ATM sekitar daerah Kerian dan Nibong Tebal, Pulau Pinang ke dalam 11 akaun bank milik seorang individu.

"Mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah perbuatannya tersebut dicurigai oleh anak saudara yang datang melawat sewaktu mangsa ingin keluar membuat pindahan wang berikutnya dan menceritakan segalanya setelah didesak oleh keluarga dan membuat laporan polis,” tambahnya lagi.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan masih diteruskan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram