Elak tertipu 'scam' culik murid sekolah minta tebusan, polis saran hubungi sekolah dan periksa nombor telefon


  • 112
  • Khamis, 22 Jun 2023

Sebanyak empat laporan berkaitan kes culik murid sekolah diterima polis sejak 13 hingga 15 Jun lalu berkaitan sindiket penipuan culik murid sekolah yang meminta wang tebusan di sekitar Lembah Klang. — Gambar hiasan

ORANG awam disarankan untuk tidak mudah percaya dengan panggilan daripada individu tidak dikenali jika diancam dengan penculikan anak yang meminta wang tebusan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, sebanyak empat laporan berkaitan sindiket penipuan culik murid sekolah yang meminta wang tebusan di sekitar Lembah Klang diterima oleh pihak polis setakat Jun ini.

Menurutnya, laporan-laporan berkenaan diterima sejak 13 hingga 15 Jun lalu selepas satu mesej tular di aplikasi WhatsApp berkaitan insiden terbabit.

"Kes terbabit melibatkan seorang wanita tempatan bekerja sebagai eksekutif akaun di sebuah syarikat tempatan yang memaklumkan menerima satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mendakwa anaknya ditahan dan meminta sejumlah wang tebusan.

"Oleh itu, pengadu segera bertindak memeriksa keadaan anaknya, namun mendapati mangsa dalam keadaan selamat dan segera memutuskan panggilan suspek tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, Amihizam memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan (Cubaan Tipu).

Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit.

"Hubungi balai terdekat jika anda mengalami masalah dan berhadapan dengan situasi ini dan jangan sesekali mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali," katanya.

Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ sebelum membuat sebarang transaksi dan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di talian 997 jika mempunyai maklumat berkenaan sindiket penipuan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram