PAHANG Rangers akhirnya mencipta sejarah tersendiri selepas dinobatkan sebagai juara Liga Futsal Perdana Kebangsaan (MPFL) 2023 selepas menumpaskan Johor Darul Takzim (JDT) dengan agregat 9-6.
Disaksikan dihadapan penyokong lawan di Stadium Bandaraya Pasir Gudang, Johor itu, pasukan Pantai Timur itu akhirnya menamatkan penantikan Pahang Rangers untuk muncul juara selepas berada di tempat kedua pada edisi 2019 dan 2022.
Sebelum aksi di gelanggang tuan rumah itu, Pahang Rangers membawa bekalan selesa selepas kemenangan 7-4 di dalam aksi pertama yang diadakan di Kuantan, Pahang.
Meskipun tewas tipis 2-3 kepada tuan rumah dalam perlawanan pada Ahad itu tidak menjejaskan peluang untuk anak-anak buah Gerard Casas Ulestr menunjukkan disiplin yang baik dan seterusnya menang dengan agregat 9-6.
Pasukan futsal Pahang itu mencetak dua jaringan gol menerusi sumbangan oleh penyerang import Brazil, pada minit ke 16 dan 18 untuk mengesahkan kemenangan milik pasukan pelawat.
Selepas tiga pentas final, Pahang Rangers akhirnya merangkul Piala MPFL bagi musim 2023. — Facebook/FAM
Kejayaan manis Pahang Rangers itu sedikit sebanyak mengubati kekecewaan penyokong Sri Pahang selepas pasukan bola sepak mereka tidak menunjukkan prestasi terbaik dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini.
"Syukur alhamdulillah. Tahniah dan terima kasih Pahang Rangers atas usaha menggembirakan penyokong Tok Gajah setelah sekian lama kena scam oleh pengurusan Sri Pahang," kata penyokong Sri Pahang, Ahmad Hassan.
"Mujurlah ada Pahang Rangers. Kalau Sri Pahang, entah lah," tambah seorang lagi penyokong, Momad Rowdie.
Walaupun berada pada kedudukan kelima Liga Super, namun penyokong Sri Pahang masih menzahirkan kekecewaan mereka kerana berpendapat skuad kendalian Fandi Ahmad itu tidak mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim ini.
Sebelum ini, Tok Gajah tewas 0-2 di tangan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi ke-19 Liga Super dan Fandi menyatakan bahawa kekurangan pemain dan faktor keletihan menjejaskan peluang untuk menampilkan aksi terbaik.
Namun, perkongsian dari pengendali kelahiran Singapura tersebut kurang dipersetujui penyokong Tok Gajah dan menyifatkan ia hanyalah sekadar alasan untuk menenangkan 'pemain ke-12' Sri Pahang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram