Awas taktik scam, 2 akaun menyamar The Star cuba jual saham palsu di FB


  • Massa
  • Rabu, 09 Ogos 2023

The Star Media Group Berhad mendakwa terdapat dua akaun palsu di laman Facebook yang meniru identiti syarikatnya.

SYARIKAT percetakan dan portal dalam talian The Star, Star Media Group Berhad mendedahkan kewujudan dua laman Facebook yang didakwa menyalahgunakan identiti jenamanya.

Difahamkan, halaman Facebook itu dikenali sebagai 'The Star Finance' dan mempunyai lebih 1,000 jumlah pengikut selain turut menggunakan logo ulang tahun '50 tahun' The Star.

Sebuah lagi halaman yang dikatakan turut menggunakan identiti palsu sama yang juga dikenali sebagai 'The Star Finance', dikatakan menjalankan perkhidmatan pelaburan.

Beberapa iklan di Facebook memaparkan halaman tersebut menawarkan beberapa perkhidmatan atas talian seperti produk saham, data pasaran saham yang tepat dan cara mengelak daripada ditipu.

Selain itu, akaun palsu tersebut sebelum ini dikatakan turut menjemput orang ramai untuk menyertai kumpulan saham 'The Star Finance' secara percuma menerusi posting dimuat naik bertajuk 'Dividen Pelaburan Saham Mewah Malaysia'.

Mendakwa ia merupakan satu penipuan, The Star Media Group Berhad menafikan hantaran tersebut selain turut menjelaskan bahawa syarikat itu sama sekali tiada kaitan dengan halaman palsu tersebut.

The Star yang disenaraikan Reuters sebagai salah satu sumber berita paling dipercayai di Malaysia, menerbitkan berita di laman web rasminya thestar.com.my.

Bagi memastikan orang ramai menerima artikel sahih daripada The Star, setiap alamat halaman web rasminya bermula dengan URL https://www.thestar.com.my/.

Sekiranya ada pihak ada terjumpa iklan ataupun halaman palsu di laman Facebook yang menyerupai The Star, orang ramai diminta untuk tampil membuat laporan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram