[VIDEO] Rimas dipaksa bergambar 'scammer' bersepah depan KLCC


  • Berita
  • Isnin, 28 Ogos 2023

Beberapa individu yang menawarkan perkhidmatan mengambil gambar dilihat menghampiri pelancong di sekitar kawasan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

BAGI pelancong sama ada dari dalam mahupun luar negara, bergambar bersama bangunan ikonik Menara Berkembar Petronas merupakan sesuatu yang tidak boleh dilepaskan apabila berkunjung ke Kuala Lumpur.

Ini kerana foto bersama menara pencakar pencakar langit setinggi 88 tingkat itu pastinya memberikan panorama yang bukan sahaja cantik, tetapi juga bernilai untuk dijadikan sebagai memori.

Disebakan itu, tidak hairan apabila terdapat pihak mengambil kesempatan atas perkara tersebut untuk memperdaya pelancong dengan memaksa kumpulan tersebut mendapatkan perkhidmatan mereka.

Kegiatan penipuan dan ugutan melalui penawaran perkhidmatan mengambil gambar terbabit dipercayai wujud di sekitar tempat tumpuan pelancong di ibu kota itu.

Kumpulan tersebut yang dipercayai merupakan jurufoto warga asing itu menjalankan aktiviti berkenaan dengan hanya berbekalkan telefon pintar, gimbal dan alat pencahahayaan serta secara licik mengenakan upah antara RM5 hingga RM20 untuk setiap foto.

Sebaik mendapat persetujuan daripada pelancong yang mahu menggunakan perkhidmatannya, mereka akan mula mengambil gambar sebelum memberikan foto tersebut melalui WhatsApp atau mana-mana platform yang dipersetujui

Pada masa sama, kumpulan berkenaan juga akan mula meminta bayaran daripada pelancong berkenaan.

Dalam kebanyakan kes, upah yang dituntut bukan sahaja untuk foto tertentu yang diminta tetapi meliputi gambar diambil daripada sudut lain tanpa persetujuan pelanggan.

Langkah itu dibuat untuk membolehkan mereka mendapat bayaran lebih banyak.

Sekiranya tunutan tersebut tidak dipenuhi, kumpulan itu akan mengganggu pelancong terbabit daripada mendapatkan gambar terbaik di kawasan berkenaan.

Ia dilakukan dengan cara menyelinap di belakang latar belakang foto yang cuba diambil sehingga merosakkan keindahan gambar cuba diambil pelanggan tersebut.

Kumpulan jurugambar terlibat biasanya berkumpul di tempat-tempat popular sekitar kawasan Menara Berkembar Petronas bagi mencari pelanggan.

Terdapat juga antara mereka yang berkeliaran dan menganggu pelancong yang sedang berswafoto.

“Datang dan cuba dulu. Kami boleh mengambil gambar anda. Nanti boleh bayar,” kata salah seorang individu kepada wartawan The Star yang menyamar sebagai pelancong di kawasan KLCC.

Individu itu menawarkan untuk menerima pembayaran secara tunai atau secara dalam talian.

Seorang pelancong tempatan dari Utara Malaysia yang mahu dikenali sebagai Cheng, berkata, percutian bersama keluarganya bertukar muram selepas diganggu oleh jurugambar terbabit.

“Kami tidak bersetuju tetapi mereka berkeras mahu mengambil gambar untuk kami. Akhirnya, mereka meninggalkan kami sendirian tetapi setiap kali kami cuba mengambil gambar kami sendiri, mereka akan berada di latar belakang untuk merosakkan gambar kami,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Siti Hasniza berkata, dia terpaksa membayar sehingga RM100 untuk lima gambar, walaupun hanya bersetuju untuk mengambil satu gambar.

“Pada mulanya, mereka kata caj RM10 setiap gambar. Kemudian mereka berkata, disebabkan beberapa pelarasan pencahayaan yang perlu dibuat, ia adalah RM20 setiap gambar.

"Walaupun sudah memaklumkan kami hanya mahukan satu gambar, individu itu tetap memindahkan lima keping gambar dan menuntut bayaran penuh," katanya.

Seorang lagi pelancong lain, Lee MJ berkata, dia didekati oleh kumpulan berkenaan ketika sedang berswafoto di hadapan menara berkembar ikonik berkenaan.

“Saya ditawarkan RM10 untuk tiga gambar dan bersetuju,” katanya ketika ditemui.

Bagaimanapun, dia berkata, seorang lelaki lain datang dan mengambil gambarnya dan kemudian menawarkannya dengan harga yang tidak boleh diterima.

Tinjauan dilakukan di perkarangan luar Menara Berkembar PETRONAS pada hujung minggu lalu mendapati sekurang-kurangnya terdapat seramai 15 jurugambar berkenaan berlegar-legar bermula dari pukul 2 petang hingga 7.30 malam.

Sebahagian daripada mereka yang ditemui mengakui kegiatan itu mendapat reaksi negatif orang ramai.

“Kami hanya mahu mencari rezeki dan membantu pelancong mengambil gambar yang menarik. Tidak semua daripada kami mahu menipu pelancong,” salah seorang daripada mereka kepada The Star.

Salah seorang jurugambar yang hanya mahu dikenali sebagai Maha berkata, turut mempertahankan kaedah yang digunakan itu apabila memaklumkan bahawa pembelian gambar secara pukal adalah lebih murah.

“Untuk satu gambar saya caj RM5 tetapi untuk tiga, RM10. Kadarnya adalah berpatutan,” katanya sambil menambah bahawa dia melakukan kegiatan itu sepenuh masa sejak 2015.

"Kami pernah menjual aksesori kamera telefon pintar tetapi terhenti kerana tidak mendatangkan pulangan yang baik," katanya.

Maha menambah, mereka sebelum ini dibenarkan mengambil gambar lebih dekat dengan Menara Berkembar namun mula dihalang sejak baru-baru ini.

“Kami tidak dibenarkan masuk ke dalam kawasan air pancut selepas video tular baru-baru ini mendakwa kami menguasai kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, beberapa pegawai polis bantuan yang ditemu bual berkata, mereka mula membuat rondaan di kawasan itu kira-kira tiga minggu lalu.

“Kami menerima banyak aduan daripada pengunjung tempatan mahupun pelancong mengenai kegiatan jurugambar ini. Kami sedang memantau dengan teliti,” kata seorang anggota yang ditemui.

Dalam pada itu, jurucakap pengurusan berkata, pihaknya sedar mengenai kebimbangan yang wujud akibat kegiatan tersebut.

“Kami mengamalkan pendekatan proaktif melalui kerjasama berterusan dengan pihak berkuasa, terutamanya polis untuk memastikan isu itu ditangani,” tambahnya.

Cubaan untuk mendapatkan maklum balas daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan isu tersebut bagaimanapun gagal. — The Star/GERARD GIMINO dan BENJAMIN LEE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram