TINDAKAN seorang wanita dipercayai warga asing yang secara tiba-tiba berlari meluru ke arah jalan raya sehingga melanggar sebuah motosikal menimbulkan tanda tanya warga maya pada Selasa.
Melalui video yang dimuat naik di laman Facebook Info Roadblock Seluruh Malaysia memaparkan individu berkenaan pada mulanya berdiri di tepi jalan sebelum dia tiba-tiba berlari ke tengah jalan jalan raya.
"Sama ada memang tidak nampak atau scam," tulisnya.
Difahamkan, kejadian itu berlaku di salah satu jalan di Desa Pandan, Kuala Lumpur namun tidak dapat dipastikan tarikh sebenar kejadian.
Motosikal yang ditunggang oleh seorang wanita tidak dapat mengelak warga asing berkenaan dan terus terjatuh apabila dilanggar individu tersebut yang menyaksikan kedua-duanya terbaring di tengah jalan.
Video berdurasi 10 saat tersebut juga berjaya dirakam oleh pengguna jalan raya yang lain melalui rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaannya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kasihan terhadap penunggang motosikal tersebut yang dianggap sebagai mangsa keadaan.
Saifuddin Akmal berpendapat mungkin warga asing berkenaan sengaja berbuat sedemikian untuk mendapatkan wang insurans.
"Scam warga asing ini, sengaja minta dilanggar nak dapatkan wang insurans. Eh geram pula aku tengok, penunggang motosikal itu mangsa yang sebenar," tulisnya.
"Adehhh, kerja nak menipu sahaja. Nasib baik ada bukti dashcam. Kalau dia (warga asing) itu buat report palsu pada polis, saman sahaja. Sudah ada bukti," kata Mohamad Hanif.
Sementara itu, Khairul Amri berasa kasihan terhadap penunggang motosikal itu.
"Lain macam, tiba-tiba berlari. Ingatkan di tanah besar (China), nampak gaya sudah mula merebak ke sini. Naya pada 'rider' itu, tak pasal-pasal jatuh," tulisnya.
Setakat berita ini ditulis, belum ada sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram