Dari benci jadi sayang, fans Selangor mahu Ayron del Valle kekal beraksi musim depan


  • Podium
  • Khamis, 17 Ogos 2023

Ayron menjadi tumpuan penyokong bola sepak selepas prestasi yang menakjubkan bersama Selangor musim ini.

AYRON del Valle sudah menjaringkan 16 gol sepanjang 21 penampilan dalam Liga Super.

Ya, itulah statistik penyerang berusia 34 tahun yang pernah digelar 'scammer' oleh penyokong Selangor awal musim lalu selepas tampil dengan prestasi hambar serta sering mempersia-siakan peluang apabila di hadapan gawang gol.

Mula menunjukkan belang ketika lawan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada 31 Mac lalu apabila dia menjaringkan dua gol serta melakukan satu assist dalam derbi Lembah Klang pertama buat dirinya.

Ayron tidak lagi menoleh ke belakang apabila hampir kesemua perlawanan Selangor pasti tercatat namanya sebagai penjaring gol buat Gergasi Merah.

Pemain kelahiran Colombia itu turut mencatatkan hatrik ketika menewaskan Kelantan United dengan keputusan 7-1 di Stadium Sultan Muhammad IV pada 7 Jun lalu.

Kini Ayron antara pencabar kasut emas Liga Super 2023 selepas menyamai jaringan Fernando Forestieri iaitu 17 gol dan diikuti rapat oleh Bergson da Silva (15 gol).

Ayron del Valle

Ayron sudah menjaringkan 17 gol bersama Selangor FC.

Dengan prestasi semasa Ayron sebagai tunjang utama Selangor, penyokong sudah mula jatuh hati dengan aksi yang ditunjukkan bekas penjaring terbanyak Liga Colombia itu.

Malah ada penyokong yang mahukan Ayron kekal lebih lama di Selangor untuk membantu pasukan itu mengharungi Piala AFC jika Gergasi Merah berjaya menamatkan liga di tempat kedua musim ini.

"Dulu banyak yang cakap Ayron ini indah khabar dari rupa. Selangor kena 'scam', tak tahu cari peluang, tak lari dan macam-macam lagi.

"Sekarang Ayron dah buktikan,bukan setakat pandai mengintai peluang,tapi banyak membuka ruang pada rakan-rakan untuk mencatat nama sebagai penjaring.

"Malah penyerang dari Colombia itu semakin hampir untuk dinobatkan sebagai penjaring terbanyak liga Super 2023," kata Skeper Kepundenz.

WhatsApp Image 2023-08-17 at 5.24.17 PM

Penyokong Selangor turut berharap Safuwan (kiri) dan Orozco (kanan) kekal di Selangor musim depan.

"Setuju untuk Ayron kekal, harap Selangor pun dapat kekalkan Orozco musim depan," jelas Raithkab Namhar.

"Orozco, Safuwan dan Ayron wajar kekal di Selangor musim depan," ujar Najib Psk.

"Saya suka Ayron, dia tak berlagak dan sombong macam sesetengah import yang dah bina nama dekat Malaysia," luah Che Aida.

Ayron kini wajib menjaringkan gol dalam kesemua baki saingan Liga Super jika mahu menjarakkan angka jaringan dengan Bergson sekali gus memenangi kasut emas musim ini.

Selangor selepas ini akan bertemu Kelantan FC, Terengganu FC, Perak FC, Kedah Darul Aman FC dan PDRM FC bagi baki saingan Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram