Selain Ismail Sabri, KJ, 3 lagi pemimpin Umno tak 'sebulu' dengan Zahid


  • Politik
  • Rabu, 23 Nov 2022

Ismail Sabri (kiri) dan KJ menolak kerjasama dengan PH.

PERGOLAKAN dalaman Umno semakin hangat diperkatakan apabila beberapa pemimpin parti tersebut dianggap tidak 'sebulu' dengan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apatah lagi, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan Barisan Nasional (BN) hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen, berbanding dengan Pakatan Harapan (PH) dengan 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 73 kerusi.

Ahmad Zahid selaku Pengerusi BN dianggap gagal mengemudi pakatan itu, selain didakwa menjadi punca kekalahan pada PRU15.

Pada Ahad, seramai 29 Ahli Parlimen BN kecuali Ahmad Zahid, didakwa menandatangani Akuan Bersumpah (SD) bagi menyokong Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

file7n11nhfk13bgb1m53sw

Ahmad Zahid dianggap perlu bertanggungjawab atas kekalahan BN pada PRU15.

Sehari selepas itu, beberapa pemimpin BN dan Pakatan Harapan (PH) melakukan pertemuan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

ph-12

Gambar beberapa pemimpin BN dan PH membuat pertemuan tular di media sosial.

Pertemuan itu dilakukan bagi membincangkan tentang kerjasama penubuhan kerajaan Persekutuan, selain mendapatkan sokongan BN untuk melantik Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Difahamkan, ada di antara pemimpin BN yang dimaklumkan bahawa pertemuan itu hanya melibatkan dalam kalangan ahli mereka sahaja, selain tidak diberitahu mereka bakal melakukan perbincangan dengan pemimpin PH.

Selain tidak bersependapat dengan Ahmad Zahid, berikut antara senarai pemimpin Umno (BN) yang menolak kerjasama dengan PH:

1) Khairy Jamaluddin

file7nnk90iyz1w187bx4fps

Khairy bercakap pada sidang media ketika beliau memegang jawatan Menteri Kesihatan.

Menerusi hantaran di laman Twitter, Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ menggesa Ahmad Zahid berundur, selepas melihat prestasi buruk pada PRU15.

Mengambil contoh kekalahan dalam peperangan, bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, panglima besar mesti bermaruah untuk mengambil tanggungjawab.

c911b0bd-8601-4448-aa6b-ee66743078cc

Tangkap layar hantaran Twitter KJ.

Apabila kalah dalam peperangan, Panglima besar mesti ada maruah untuk mengambil tanggungjawab.

"Lebih-lebih lagi bila strategi perang diatur oleh panglima besar telah sebabkan ramai soldadu di medan tersungkur.

"Presiden mesti undur. Sekarang. Reformasi Umno tidak boleh ditangguh lagi," katanya.

2) Tan Sri Annuar Musa

file7nmmlxx41pe16rbth3od

Annuar Musa lantang mendedahkan kepincangan berlaku dalam Umno.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu mendedahkan, formula 'gerak solo' dicetuskan oleh pucuk pimpinan parti dan disembunyikan daripada ahli parti untuk meninggalkan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) demi agenda peribadi.

"Formula ini ialah formula yang gagal, dan terbukti ia suatu bencana," katanya dipetik sebagai berkata.

Tambah Annuar, Ahmad Zahid telah merancang formula ini apabila bertemu dengan beberapa pemimpin PH antara Julai dan Ogos 2020, bagi menunjukkan sokongannya kepada Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Kami menerima laporan bahawa Presiden (Ahmad Zahid) mengadakan pertemuan di Ampang dengan beberapa pemimpin PH, termasuk Anwar dan Loke Siew Fook (DAP), mereka merancang menunjukkan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri," katanya.

Parti tidak memberikan banyak perhatian kepada perkara itu, tetapi keraguan timbul apabila Anwar Ibrahim mengumumkan beliau mempunyai angka yang mencukupi untuk membentuk kerajaan berikutan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Akhirnya, terbukti bahawa Presiden telah menandatangani surat untuk memberi sokongan kepada Anwar (menjadi Perdana Menteri) dan berjanji taat setia," dedahnya lagi.

3) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

file6z1u8e97tpklc8nmb99

Hishammuddin antara yang 'berkeras' tidak mahu bekerjasama dengan PH.

Bendahari Agung BN itu berkata, beliau bersedia untuk dipecat parti, sekiranya gabungan itu bekerjasama dengan PH untuk membentuk kerajaan.

"Seperti saya tegaskan kelmarin dan sebelum ini lagi, tetap menolak kerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Saya rela dipecat oleh parti namun tidak akan sesekali mengubah pendirian teguh ini. No Anwar, No DAP.

"Pihak yang merasakan boleh mengambil tindakan memecat saya kerana berpegang kepada pendirian ini, silakan," katanya dalam satu kenyataan.

4) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

file7nnoyuatilh1ev9gufpr

Ismail Sabri bersedia dipecat daripada melakukan kerjasama dengan PH.

Naib Presiden Umno itu tidak terkecuali menolak kerjasama antara BN dengan PH untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Perkara itu dikongsi oleh puteri sulungnya, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri menerusi Instastory miliknya pada Isnin.

WhatsApp Image 2022-11-21 at 10.12.59 PM

Tangkap layar kenyataan Ismail Sabri di aplikasi WhatsApp.

Perkongsian itu memaparkan tangkap layar perbualan aplikasi WhatsApp, yang mana Ismail bersedia untuk dipecat daripada Umno berbanding melakukan kerjasama dengan PH.

"Saya sedia dipecat... tetap tidak akan bersama PH," tulis Ismail Sabri.

5) Shahril Sufian Hamdan

file6zwkukm3ziuhwa7mff4

Shahril Sufian menggesa Ahmad Zahid meletakkan jawatan selepas kekalahan BN dalam PRU15.

Ketua Penerangan Umno pada Ahad mengumumkan peletakan jawatannya, bagi mengambil tanggungjawab di atas kekalahan BN dalam PRU15.

Pada masa sama, Shahril turut menggesa agar Ahmad Zahid berundur secara terhormat bagi mengambil tanggungjawab kekalahan ini.

"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor (Datuk Onn Hafiz Ghazi) iaitu tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu (Presiden Umno dan Pengerusi BN) perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini dengan berundur secara terhormat.

"Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini," katanya.

Pada Selasa, Dewan Tertinggi BN membuat keputusan untuk tidak menyokong mana-mana gabungan bagi membentuk kerajaan Pusat.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, 30 Ahli Dewan Rakyat daripada BN menghadap baginda secara individu di Istana Negara bermula 10.30 pagi, Rabu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, sesi menghadap Ahli Dewan Rakyat BN itu bagi membolehkan Seri Paduka Baginda membuat keputusan berhubung lantikan Perdana Menteri ke-10.

"Proses ini bertujuan supaya baginda dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang bagi hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

"Ia selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram