Agong titah Anwar, Muhyiddin menghadap


  • Primer
  • Selasa, 22 Nov 2022

Yang di-Pertuan Agong menitahkan Muhyiddin dan Anwar menghadap di Istana Negara pada 4.30 petang Selasa. — Bernama

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri-ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap pada pukul 4.30 petang, Selasa di Istana Negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap kedua-dua pemimpin berkenaan memandangkan tiada ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti mudah untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Beliau berkata, Istana Negara menerima pemakluman berkenaan gabungan parti-parti politik pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi pembentukan kerajaan baharu daripada ketua parti dan ketua gabungan parti politik yang mempunyai jumlah kerusi Parlimen yang banyak, susulan keputusan PRU15.

"Bersama pemakluman itu, ketua parti politik dan ketua gabungan parti politik berkenaan turut mengemukakan pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 kepada Istana Negara seperti diminta dengan kerjasama Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pada 20 November," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Seri Paduka Baginda berkenan keluar dari Istana Negara untuk mencemar duli menyantuni media. — The Star

Lanjutan daripada itu, proses pengesahan calon perdana menteri yang memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat telah dilaksanakan oleh Al-Sultan Abdullah, supaya Seri Paduka dapat membuat keputusan bagi melantik seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda turut bertitah supaya rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan baharu, pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.

"Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah,” katanya.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram