BN, PN teruskan perbincangan terajui Pahang bersama


  • Politik
  • Selasa, 22 Nov 2022

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau pada Selasa. — Bernama

PERTEMUAN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Pahang diadakan untuk perbincangan selanjutnya berkenaan kerjasama kedua-dua parti di negeri tersebut.

Wakil BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mewakili PN mengadakan perbincangan berhubung pembentukan Kerajaan Negeri Pahang.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam laman Facebook beliau pada Selasa.

"Hari ini, akan diadakan perbincangan selanjutnya," katanya.

Saifuddin pada Isnin memaklumkan Majls Tertinggi PN melantik Tuan Ibrahim untuk mengetuai rundingan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang, yang kini tergantung selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh 22 kerusi majoriti mudah untuk menjadi kerajaan negeri.

Pada PRU15, PN menang 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Barisan Nasional (BN) 16 kerusi manakala Pakatan Harapan lapan kerusi.

Pahang mempunyai 42 kerusi DUN, namun proses pengundian DUN Tioman ditangguhkan ke 7 Dis ini ekoran kematian calon PN kerusi itu Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi Sabtu lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Setakat ini, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang masih belum memberi sebarang kenyataan berhubung pembentukan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Pengerusi DAP negeri Leong Ngah Ngah semalam dilaporkan berkata PH Pahang sedia bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri, namun menunggu keputusan rasmi daripada pimpinan pusat. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram