Tiada lagi keputusan siapa PM — Anwar


  • Politik
  • Selasa, 22 Nov 2022

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masih belum ada keputusan siapa Perdana Menteri ke-10.

TEKA-TEKI siapa Perdana Menteri ke-10 masih menjadi tanda tanya selepas pada hari keempat berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ini selepas Istana Negara belum memutuskan membuat apa-apa keputusan berhubung jawatan nombor satu dalam pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Perkara itu turut dimaklumkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim usai pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada pukul 4.30 petang, Selasa.

"Tiada apa-apa keputusan tentang pelantikan Perdana Menteri ke-10 dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima menghadap ketua-ketua gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) menghadap pada pukul 4.30 petang, Selasa di Istana Negara.

Baginda bertitah akan membuat keputusan tidak lama lagi mengenai gabungan mana yang bakal membentuk kerajaan Persekutuan dan melantik Perdana Menteri ke-10 dalam masa terdekat.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 112 kerusi namun ketika ini berlaku situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Keputusan PRU15 menyaksikan PH memperoleh 82 kerusi Parlimen diikuti PN (73), Barisan Nasional (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat masing-masing satu kerusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram