GPS serah isu pelantikan PM kepada kebijaksanaan Agong, cenderung sertai gabungan PN-BN


  • Politik
  • Selasa, 22 Nov 2022

GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak pada PRU15.

GABUNGAN Parti Sarawak (GPS) menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam pelantikan Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara.

Pakatan itu berkata, ia selaras dengan kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia.

GPS memaklumkan, kepentingan negara adalah lebih diutamakan, manakala penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

"Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati," kata GPS dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, GPS sudah mengemukakan cadangan untuk menubuhkan kerajaan Malaysia, yang melibatkan penyertaan mereka bersama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

GPS merupakan gabungan empat parti tempatan Sarawak terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ahad lalu, GPS mengumumkan persetujuan untuk membentuk gabungan bersama PN, BN dan GRS bagi membentuk kerajaan Persekutuan, dengan memilih Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri.

"Fokus dan tanggungjawab utama kita sekarang haruslah kepada kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat," kata Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dipetik sebagai berkata.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), GPS memenangi 23 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak.

Sebelum ini, Istana Negara berkenan melanjutkan tempoh pencalonan bakal Perdana Menteri Malaysia ke-10 sehingga pukul 2 petang, Selasa.

Titah perkenan Al-Sultan Abdullah itu susulan permohonan daripada ketua parti-parti politik dan gabungan parti-parti politik diterima oleh pihak Istana Negara pada Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram