'Dulu kutuk, sekarang merayu', penganalisis sifatkan gabungan pakatan politik sebagai 'realpolitik'


  • Politik
  • Selasa, 22 Nov 2022

Pakatan yang melakukan gabungan dengan parti lain disifatkan sebagai realpolitik.

SELEPAS empat hari Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan, situasi Parlimen masih tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

PRU15 menyaksikan gabungan parti antaranya Pakatan Harapan (PH) memperoleh 82 kerusi Parlimen, Perikatan Nasional (73), manakala Barisan Nasional (30).

Sementara itu di Perak, PRU15 menyaksikan BN hanya memenangi sembilan daripada 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan ia keputusan terburuk pernah direkodkan parti itu.

Selain itu PN pula berjaya menawan 26 kerusi, manakala PH memenangi 24 kerusi.

1829997

Saarani ketika mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Isnin.

Lincah merebut peluang, PH dan BN buat kali pertamanya dalam sejarah bekerjasama bagi membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad selesai mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak pada Isnin.

Tampil bersuara, Prof Madya Dr Jeniri Amir menyifatkan tindakan kedua-dua pakatan yang melakukan gabungan itu sebagai 'realpolitik', yang mana mereka lebih mengutamakan kuasa melebihi kepentingan prinsip.

Sebagai contoh, penganalisis politik itu berkata, PH sebelum ini bukan sahaja tidak boleh bekerjasama, malah turut melakukan serangan ke atas BN.

"Ini termasuk melabel BN sebagai parti yang tidak boleh bekerjasama kerana terdiri daripada golongan kleptokrat, rasuah, salah guna kuasa, rasis dan sebagainya.

"Sekarang tiba-tiba merayu untuk dapat sokongan," katanya kepada Majoriti.

1818439

Jeniri Amir

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, PH dan BN masing-masing tidak dapat membentuk kerajaan tunggal di Perak, disebabkan jumlah kerusi DUN yang tidak mencukupi.

Lantaran itu, mereka terpaksa bergabung bagi merebut kuasa di negeri tersebut kerana status DUN tidak boleh digantung terlalu lama.

"Mereka sanggup mengenepikan prinsip dan ikrar untuk tidak bekerjasama antara satu sama lain menjelang PRU lalu.

"Namun, disebabkan gelora politik dan kemelut yang berlaku sekarang, kedua-kedua pihak nampaknya bersedia mengenepikan perbezaan.

"Jika tidak, keadaan politik di Perak akan bergelora dan ini tidak baik untuk kepentingan negeri itu dan negara secara keseluruhannya," jelasnya.

ph-12

Gambar pertemuan beberapa pemimpin BN dan PH tular pada Isnin.

Pada Isnin, beberapa pemimpin BN dan PH melakukan pertemuan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur bagi membincangkan tentang kerjasama penubuhan kerajaan Persekutuan.

Antara yang hadir dalam pertemuan itu adalah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram