Barisan Exco Perak, 7 PH, 3 BN angkat sumpah di Istana Iskandariah


  • Politik
  • Selasa, 22 Nov 2022

Kesemua mereka kemudian menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed.

SERAMAI 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Perak di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Selasa.

Turut berangkat dalam istiadat itu ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Istiadat pelantikan itu berlangsung di Balai Istiadat Kecil di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di Kuala Kangsar, Perak.

Tiga wakil Barisan Nasional (BN) daripada Umno membarisi Exco kerajaan negeri Perak iaitu Datuk Mohd. Zolkafly Harun (Lintang), Salbiah Mohamed (Temengor) dan Khairudin Abu Hanipah (Belanja).

Turut tersenarai tujuh wakil gabungan parti dalam Pakatan Harapan (PH) di mana empat daripadanya ADUN DAP iaitu A. Sivanesan (Sungkai), Teh Kok Lim (Aulong), Loh Sze Yee (Jalong), Woo Kah Leong (Pasir Bedamar).

Exco lain PH ialah Sandrea Ng (Teja) dan Mohd. Azlan Helmi (Tualang Sekah) daripada PKR manakala Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Sungai Rapat) daripada Amanah.

Kesemua mereka turut menandatangani surat pelantikan dengan disaksikan Hakim Utama Mahkamah Tinggi Ipoh Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pada Isnin, Saarani telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-15 selepas BN dan PH bersetuju menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.

Keputusan PRU15 baru-baru ini menyaksikan kerajaan negeri Perak tidak boleh dibentuk ekoran tiada mana-mana parti memperoleh majoriti mudah 30 daripada 59 kerusi DUN di perak.

PH hanya menang 24 kerusi DUN manakala PN 26 kerusi dan sembilan kerusi dimenangi BN.

Kerjasama antara gabungan PH dan BN menjadikan mereka mempunyai kerusi yang mencukupi iaitu 33 kerusi DUN sekali gus melepasi angka majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

ADUN, Exco, sumpah, Sultan Nazrin, Perak