NAMA yang tidak asing lagi dalam kalangan bualan warganet iaitu Kak Long atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura sekali lagi mencuri tumpuan apabila dilihat mengajuk tingkah laku komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dengan membuat gaya tempang dan herot.
Tindakannya itu mendapat kecaman dan makian oleh wargenet sehinggakan Ahli Dewan Negara yang mewakili golongan OKU, Senator Datuk Ras Adiba Radzi mengajak orang ramai untuk membuat laporan polis terhadap Kak Long.
Ada kalangan OKU yang terkesan dan berasa sedih dengan perilaku Kak Long yang seakan tidak memahami perasaan komuniti mereka dan perkara itu turut menjadi luahan seorang lelaki OKU yang dipercayai berasal dari utara tanah air.
Menerusi sebuah video tular di halaman Facebook Kepala Berputar, seorang pemuda OKU berbaju pasukan bola Kedah Darul Aman FC memberi pesanan kepada Kak Long mengenai kekecewaannya.
"Pesanan kepada Kak Long viral. Kak Long kena fikir andai satu hari benda yang Kak Long buat itu terjadi kepada diri Kak Long dan juga ahli keluarga Kak Long.
"Kak Long buat seolah-olah Kak Long minta nak jadi," katanya.
Tambahnya, tindakan Kak Long itu bukan sahaja mengguris perasaan individu OKU tetapi juga perasaan orang sekeliling yang bertungkus-lumus menjaga mereka.
"Kak Long dah mengguris hati dan perasaan bukan terhadap individu sahaja. Malah terhadap ibu bapa yang menjaga OKU dan juga anak-anak yang menjaga ibu bapa yang OKU.
"Andai golongan OKU ini mendoakan kepada Kak Long terjadi sesuatu yang tak diingini, andai doa mereka termakbul maka Kak Long dalam keadaan bahaya," pesannya.
Selepas video tular Kak Long mengajuk golongan OKU, wanita itu menerusi kenyataan ringkas di Facebook menafikan dakwaan berkenaan dan memohon maaf jika ada pihak yang terasa dengan gurauannya.
Sebelum itu, wanita itu mencetuskan kontroversi gara-gara mengamuk di kedai serbaneka 7 Eleven dan restoran makanan segera, KFC.
Ada yang mendakwa tindakan Wan Baizura itu sebagai strategi pemasaran memandangkan dia terlibat dalam perniagaan kosmetik.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram