STESEN televisyen Al-Hijrah dinasihatkan supaya lebih berhati-hati memilih tetamu dalam rancangan terbitannya dan tidak hanya memikirkan jumlah penonton semata-mata.
Presiden Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (Wafiq), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, penonton nampaknya lebih peka dalam isu tersebut apabila stesen televisyen itu dikecam gara-gara menjemput 'Kak Long kosmetik' atau nama sebenarnya, Wan Nor Baizura yang tular baru-baru ini sebagai tetamu jemputan ke sebuah rancangan bual bicara.
"Siapa yang mendidik siapa? Kelihatannya rakyat marhaen 'mendidik' stesen TV Islamik agar mengimbangi faktor 'mendapatkan viewers' dengan memilih ikon yang lebih baik," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Selasa.
Jelasnya, walaupun rancangan yang diberi nama 'Trending' itu bertujuan untuk mengetengahkan serta membincangkan isu-isu terkini yang tular di media sosial, namun stesen televisyen itu sepatutnya tidak seharusnya mengambil mudah dalam bab pemilihan tetamu.
Tambahnya, lebih ramai lagi individu di luar sana yang tidak terkenal yang lebih layak dipanggil untuk menjadi tetamu jemputan dalam program itu.
"Nama program 'Trending' bukan lesen untuk menjemput sesiapa sahaja tanpa menelusuri impak dari tersalah memilih 'ikon'. Perkataan Tausiyah juga bukan satu perkataan yang murah harganya.
"Ketengahkanlah unsung heroes (wira yang tidak didendang). Mereka yang tenang menerima tekanan ketika menerima adab yang buruk," katanya.
Tambahnya, sebahagian daripada operasi Al-Hijrah adalah dibiaya dari dana kerajaan agar ia tidak bergantung sepenuhnya kepada iklan-iklan berlebihan seperti syarikat televisyen swasta, jadi ia harus menunaikan amanah tersebut kepada umat Islam dengan sebaik-baiknya.
Dalam pada itu, setelah menerima kecaman hebat daripada netizen, Al-Hijrah dalam satu kenyataan pada Selasa mengumumkan bahawa ia akan menangguhkan penyiaran episod tersebut.
Menurut stesen televisyen tersebut, pihaknya mengambil keputusan berkenaan setelah mengambil kira kegelisahan yang tercetus dalam kalangan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram