SEORANG lelaki tampil membuat laporan polis selepas seorang wanita dikenali sebagai Kak Long bertindak mengejek golongan orang kelainan upaya (OKU).
Menerusi perkongsian di laman Facebook, Khairull Hafiz berkata, laporan itu dibuat terhadap Kak Long bagi memberi keadilan terhadap golongan OKU, selain memberi pengajaran kepada pelaku.
"Alhamdulillah. Selesai menunaikan tanggungjawab sebagai warga OKU. Laporan terhadap Kak Long telah dibuat.
"Bila OKU dihina, takkan kita nak duduk diam dan terima sahaja," katanya.
TANGKAP layar hantaran Facebook oleh Khairull selepas membuat laporan polis terhadap Kak Long, susulan tindakan wanita itu yang mengejek OKU.
Majoriti masih cuba menghubungi Khairull Hafiz bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung laporan polis itu.
Terdahulu, Kak Long atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura dilihat mengajuk tingkah laku OKU dengan membuat gaya tempang dan herot.
“Kak Long, sebenarnya Kak Long bukan nak viral pun. Kak Long tak tahu video itu boleh viral...
“Kak Long, minta maaflah..Jangan marah-marah,” katanya sambil ketawa.
Video berdurasi 30 saat itu didakwa dirakam beberapa jam selepas sesi temuramah di TV Al-Hijrah.
Tindakan keterlaluan wanita itu bukan sahaja ditonton oleh ribuan penonton malah turut dihujani dengan pelbagai komen yang mengecam tindakannya.
Pada masa sama, Kak Long menerusi kenyataan ringkas di Facebook menafikan dakwaan itu dan memohon maaf jika ada pihak yang terasa dengan gurauannya.
Sebelum ini, wanita itu pernah tular gara-gara kes amukan di kedai serbaneka 7 Eleven dan restoran makanan segera, KFC.
Tidak cukup dengan itu, stesen TV Al-Hijrah turut dikecam kerana menjemput Kak Long dalam sebuah program bual bicara berjudul Trending sebelum episod itu ditangguhkan kerana bantahan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram