SUSULAN kecaman orang ramai terhadap tindakan TV Al-Hijrah menjemput Kak Long 7E atau nama sebenarnya, Wan Nor Baizura sebagai jemputan ke sebuah rancangan bual bicara, stesen televisyen itu tampil untuk memberi penjelasan.
Dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa, TV Al-Hijrah berkata, setelah mengambil kira kegelisahan yang tercetus dalam kalangan orang ramai, mereka mengambil keputusan untuk menangguhkan penyiaran episod tersebut.
"TV Al-Hijrah mengucapkan terima kasih atas maklum balas serta teguran penonton dan sentiasa berusaha untuk meningkatkan mutu kandungan kami agar lebih memberi manfaat kepada rakyat Malaysia," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, stesen televisyen berkenaan turut menjelaskan bahawa kehadiran 'Kak Long 7E' di studio untuk mengisi slot program bernama Trending.
Jelasnya, ia merupakan sebuah program perkongsian membincangkan isu-isu terkini yang tular di media sosial.
"Kehadiran Kak Long 7E di studio juga disertai oleh Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki sebagai panelis yang mengambil peranan memberi tausiyah, teguran serta pengajaran kepada Kak Long 7E agar lebih peka dan bertangungjawab sebelum berkongsi apa sahaja isu di mana-mana platform khususnya di media sosial," katanya.
Pada Selasa, menerusi perkongsian gambar dari PU Amin bersama Wan Nor Baizura yang dijemput ke studio TV-Al-Hijrah, rata-rata warganet mengkritik tindakan stesen televisyen itu yang didakwa mengejar rating dengan menjemput wanita kontroversi itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram