'Kak long' kosmetik minta maaf isu anak dituduh curi barang


  • Tular
  • Khamis, 03 Mac 2022

TANGKAP layar kejadia yang menunjukkan wanita itu memarahi pekerja kedai berkenaan.

SEORANG wanita mengamuk selepas anaknya dituduh mencuri di sebuah kedai, dalam satu video yang tular di media sosial pada Khamis.

Menurut dialek yang kedengaran dari video tersebut, kejadian dipercayai berlaku di sebuah kedai serbaneka 7 Eleven di Terengganu.

Wanita yang dikenali sebagai Wan Noor Baizura itu, yang datang ke kedai itu bersama anaknya, dipercayai membuat siaran langsung di media sosial memarahi pekerja-pekerja kedai tersebut bagi memberi 'pengajaran' kepada orang ramai.

"Pengajaran buat pelanggan-pelanggan lain yang datang ke kedai ni, supaya awak tidak tuduh anak saya.

"Saya dah ajar dia dengan wang ringgit, tapi kalau kita ada maruah kita akan pertahankan maruah," kata wanita itu yang mendakwa dirinya sebagai 'kak long' kosmetik.

Kanak-kanak tersebut dilihat mengamuk dan mencampak barang-barang yang berada di kaunter serta menendang kaunter tersebut sambil menangis kerana tidak berpuas hati dituduh mencuri.

Walaupun kerap kali menafikan anaknya mencuri, wanita itu sempat memberitahu pekerja kedai supaya membuat laporan polis jika benar anaknya mencuri.

"Kalau dia mencuri, pergi balai polis," teriaknya.

Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan pihak polis berhubung kejadian itu.

Wanita itu bagaimanapun memuat naik satu lagi hantaran di Facebook beberapa jam kemudian dengan mengatakan pekerja berkenaan sudah membuat pengesahan bahawa tiada barang yang hilang.

"Syukur semua dah selesai. Anak saya tak mencuri, staf kata tiada barang hilang," katanya.

Dalam satu komen di hantaran lain, wanita itu turut meminta maaf atas tindakannya menengking pekerja tersebut.

"Kesilapan di sini nampak saya dan anak, saya minta maaf atas kesilapan saya.

"Saya belum sempat nak balas terlalu banyak komen masuk. Tapi pagi ni saya harap ada satu keajaiban doa saya kepada anak saya bahawa memang anak saya tak ambil barang tersebut.

"Jadi tolong hentikan kecam saya ataupun anak," katanya.

Dia turut meminta kerjasama orang ramai supaya berhenti menyebarkan video tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram