DI media sosial, 'bertebaran' video seorang wanita mengamuk selepas anaknya dituduh mencuri di sebuah kedai serbaneka dipercayai dalam kejadian di Terengganu, berdasarkan dialek wanita terbabit.
Menurut laporan berita, wanita yang dikenali sebagai Wan Noor Baizura itu, datang ke kedai itu bersama anaknya, dipercayai membuat siaran langsung di media sosial memarahi pekerja-pekerja kedai tersebut bagi memberi 'pengajaran' kepada orang ramai.
Kanak-kanak tersebut dilihat mengamuk dan mencampak barang-barang yang berada di kaunter serta menendang kaunter tersebut sambil menangis kerana tidak berpuas hati dituduh mencuri.
Di sebalik rakaman video yang sudah tersebar, ada beberapa pihak yang simpati dengan nasib si anak yang seolah-olah 'diheret' ke dalam situasi tersebut yang disifatkan tidak matang serta keterlaluan.
Pengamal perubatan, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan berkata, cara wanita itu yang datang menyerang pekedai dalam keadaan marah-marah bukanlah cara yang baik untuk membela atau membersihkan nama anak.
"Saya amat risau dengan keadaan si anak dalam rakaman video viral yang melibatkan si ibu yang marah-marah kepada pekedai tu.
"Itu bukan cara yang baik untuk membela, atau membersihkan nama anak. Itu lebih mencemarkan imej dan maruah dia," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Kamarul Ariffin berkata, tidak kisahlah jika sama ada ia taktik pemasaran, bahan publisiti, atau sekadar konten media sosial, perbuatan itu pastinya akan beri kesan negatif kepada kanak-kanak tersebut.
"Wajah anak terpapar, dalam keadaan yang agak mengaibkan. Kemudian, dikaitkan pula dengan tuduhan salah laku.
"Risau si anak tu akan jadi mangsa ejekan kawan-kawan serta kenalan. Kalau itu berlaku, pasti beri impak buruk pada si anak itu. Harap-harap itu tak berlakulah," katanya.
Sementara itu, Dr Kamarul Ariffin menasihatkan orang ramai untuk menjauhkan diri daripada empat perkara apabila sedang dikuasai perasaan marah.
"Apabila sedang marah, mohon jauhkan diri daripada 4 perkara ini iaitu pencetus, bercakap, media sosial dan senjata. Jika tidak, kelak pasti akan menyesal," ujarnya.
Hantaran tersebut turut mendapat persetujuan netizen yang merasakan tindakan marah-marah dan dengan buat live bukanlah cara yang bijak untuk menangani krisis.
SEBAHAGIAN komen netizen terhadap hantaran status Dr Kamarul Ariffin. — Facebook
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama Ana Farhana yang berasakan situasi tersebut akan memberi kesan kepada psikologi anak khususnya apabila menerima kecaman netizen.
"Yang paling utama jangan viralkan apa-apapun aib sama ada aib diri sendiri atau aib orang lain.
"Sekarang aib si ibu dan si anak sudah tersebar, takut akan efek psikologi si anak apabila dikecam oleh netizen.
"Janganlah semua benda nak diviralkan, benda yang 'busuk' patut simpan untuk tatapan diri sendiri je..," tulisnya.
Seorang lagi pengguna Facebook, Danial Dave juga bersetuju dan berasakan perbuatan membela anak tidak patut dibuat seperti yang ditunjukkan wanita berkenaan.
"Setuju...membela anak bukan begitu caranya. Dan pastinya bukan live. Penangan media sosial dan nak trending. Mereka lupa peranan keibubapaan.
"Sekarang hadaplah segalanya. Stres kepada diri dan anak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram