BARU-BARU ini, tular di media sosial video perbuatan seorang wanita yang bersikap agak biadap terhadap pekerja sebuah kedai serbaneka 7 Eleven (7E) di Terengganu selepas anaknya dituduh mencuri oleh pekerja tersebut.
Perbuatan Kak Long atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura itu rata-ratanya dikecam warganet dan ada yang beranggapan dia seorang yang tidak berfikiran rasional ekoran tindakannya menengking pekerja 7E dalam video berkenaan.
Mengulas video tersebut, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, tidak dapat dinafikan naluri ibu akan berusaha mempertahankan anak tetapi sifat marah akan melenyapkan pemikiran rasional.
Dalam sebuah hadis Rasulullah berpesan kepada seorang sahabat agar mengawal diri ketika marah dan orang yang kuat adalah mereka yang berjaya mengawal api kemarahan.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Bukanlah dikatakan kuatnya seseorang itu disebabkan hebatnya dia bergaduh (pergustian), tetapi orang yang kuat itu adalah orang yang menguasai dirinya ketika marah.” — (HR al-Bukhari).
"Atas dasar itu Rasulullah memberikan beberapa pesanan kepada kita dalam mengendalikan jiwa yang sedang bergelojak.
"Rasulullah mengingatkan kepada kita agar berta’awuz (memohon dijauhkan dari syaitan) ketika sedang marah. Sabda Nabi: “Sesungguhnya aku mengetahui kamu satu kalimah, andai kamu mengucapkannya, maka akan pergi apa yang tercetus di hatimu. Sekiranya kamu ucapankan “A’zubillahi Minasy Syaitan”, maka akan pergilah apa yang terpendam di hatimu — (Sahih Ibn Hibban)," katanya menerusi laman Telegramnya.
Beliau berkata, Nabi Muhammad SAW juga berpesan agar diturunkan tahap kemarahan seseorang itu melalui pergerakan fizikal seperti jika ketika marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah.
Jelasnya, perbuatan seperti menengking dan menendang-nendang tidak sewajarnya dilakukan oleh seseorang yang berada dalam keadaan marah.
Sabda Rasulullah: “Sekiranya salah seorang kamu sedang marah dan dia sedang berdiri, maka hendaklah dia duduk. Sekiranya marah itu pergi (alangkah baiknya) dan sekiranya marah itu tidak hilang, maka baringlah.” — HR Abu Daud
Dalam pada itu, Ahmad Sanusi juga mengingatkan bahawa setiap tindakan ibu bapa itu akan dipelajari oleh orang sekeliling terutamanya anak-anak.
"Setiap perbuatan dan kata-kata akan menjadi contoh buat mereka," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram