TIDAK cukup dengan laporan polis, wanita kontroversi yang dikenali Kak Long kini berkemungkinan bakal berdepan dengan saman sivil selepas didakwa mengejek golongan orang kelainan upaya (OKU).
Pegawai kelestarian, Khairull Hafiz berkata, beliau mempertimbangkan untuk mengambil tindakan sivil terhadap wanita berkenaan, namun keputusan akan dilakukan selepas perbincangan bersama para peguam dan rakan-rakan OKU.
"Kami akan berbincang sama ada adakah tindakan ini betul (saman), sebab kita pun nakkan benda ni jadi pengajaran kepada masyarakat dan bukan kepada Kak Long sahaja," katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Khairull pada Rabu tampil membuat laporan polis susulan video Kak Long yang mengajuk pergerakan dan percakapan OKU tular di laman sosial.
Mengulas lanjut, Khairull berkata, tujuannya membuat laporan polis itu disebabkan rasa tidak puas hati dan mendapati tindakan wanita itu suatu penghinaan buat golongan OKU sepertinya.
Beliau berkata, kebanyakan rakan-rakan yang senasib dengannya turut berpendapat bahawa pelaku secara tidak langsung memperlekehkan OKU terutamanya mereka yang menghidapi Cerebral Palsy (CP) - satu penyakit kesukaran mengawal pergerakan otot.
"Memanglah secara langsung dia tak ada sebut mu (kamu) ni cacat. Tapi, ia (perbuatannya) agak sampai secara directly (langsung) atau indirectly (tidak langsung), sama ada secara tak sengaja ia akan beri bad message.
"Saya memang tidak mahu orang ramai ambil mudah dan tak nak orang pandang remeh dekat OKU. Saya telah pun membuat laporan polis dan biarlah polis yang membuat siasatan," katanya.
Pada Selasa, Kak Long atau nama sebenarnya Wan Nor Baizura dilihat mengajuk tingkah laku OKU dengan membuat gaya tempang dan herot.
“Kak Long, sebenarnya Kak Long bukan nak viral pun. Kak Long tak tahu video itu boleh viral...
“Kak Long, minta maaflah..Jangan marah-marah,” katanya sambil ketawa.
Video berdurasi 30 saat itu didakwa dirakam beberapa jam selepas sesi temuramah di TV Al-Hijrah.
Tindakan keterlaluan wanita itu bukan sahaja ditonton oleh ribuan penonton malah turut dihujani dengan pelbagai komen yang mengecam tindakannya.
Pada masa sama, Kak Long menerusi kenyataan ringkas di Facebook menafikan dakwaan itu dan memohon maaf jika ada pihak yang terasa dengan gurauannya.
Sebelum ini, wanita itu pernah tular gara-gara kes amukan di kedai serbaneka 7 Eleven dan restoran makanan segera, KFC.
Tidak cukup dengan itu, stesen TV Al-Hijrah turut dikecam kerana menjemput Kak Long dalam sebuah program bual bicara berjudul Trending sebelum episod itu ditangguhkan kerana bantahan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram