'Pak Long' 7E lagi brutal, siap conteng balai polis


  • Benua
  • Khamis, 17 Mac 2022

PONDOK Polis Kejiranan Chong Pang lokasi di mana tertuduh melakukan vandalisme dengan menyembur perkataan 'Big Bully' menggunakan cat hitam. — Agensi

DI Malaysia, kontroversi tindakan seorang wanita yang dikenali Kak Long gara-gara kes amukan di kedai serbaneka 7 Eleven pada awal Mac dilihat masih belum reda.

Namun, cerita yang lebih kurang sama juga berlaku di Singapura apabila seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun tiga bulan kelmarin selepas didapati bersalah kerana melakukan perbuatan vandalisme selain mencuri makanan dan minuman di kedai serbaneka 7-Eleven dengan mendakwa ada polis akan membuat bayaran bagi pihaknya.

Mahkamah Singapura pada Selasa (15 Mac) diberitahu bahawa lelaki terbabit, Abdul Rahim Abu Bakar, 51, mengunjungi cawangan 7-Eleven di pusat beli-belah Marina Square pada pukul 6.49 petang, 16 September tahun lalu dan mengambil sebuah botol minuman bergas 1.5 liter sebelum meminum suku daripadanya.

Dia kemudian pergi ke kaunter lalu menyerahkan botol yang sudah dibuka kepada jurujual sambil berkata air itu tidak sedap. Dia memberitahu jurujual itu bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membayar minuman tersebut.

Pengurus kedai itu dimaklumkan tentang insiden tersebut namun dia membenarkan Abdul Rahim meninggalkan kedai atas belas kasihan. Namun, lelaki warga emas itu kembali ke kedai beberapa jam kemudian untuk mengambil sebuku roti, karipap dan satu lagi botol minuman bergas 1.5 liter untuk diminum.

Dia memberitahu kakitangan 7-Eleven bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membayar kesemua barangan itu dan ada polis akan membayar bagi pihaknya.

Apabila dia enggan keluar daripada kedai tersebut, kakitangan kedai itu menghampiri seorang pengawal keselamatan yang kemudian menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Sebaik pegawai polis tiba, lelaki itu berkeras mengatakan bahawa ada polis berhutang dengannya yang membolehkan dia mengambil membayarkan makanan dan minuman itu secara percuma. Abdul Rahim kemudian diberkas, namun dibebaskan semula.

Seminggu kemudian pada 23 September, seorang individu melihat Abdul Rahim menyembur cat di bahagian lobi depan Pondok Polis Kejiranan Chong Pang.

Dia kemudian diberkas sekali lagi setelah menyembur perkataan 'Big Bully' dan "ISD Big Bully' menggunakan cat berwarna hitam pada tembok dan pintu balai polis tersebut.

Ketika diberkas, dia enggan memberikan sampel air kencing untuk diuji, meskipun diberi amaran sebanyak tujuh kali bahawa keengganan untuk berbuat demikian adalah satu kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Apabila dia ditemani ke hospital untuk menjalani pemeriksaan perubatan, Abdul Rahim meminta izin untuk menggunakan tandas. Dia berkeras tidak mahu memberikan sampel air kencing dan sebaliknya terus membuang air kecil ke dalam tandas.

Selepas itu, dia sekali kali enggan memberi sampel setelah diserahkan ke sebuah balai polis di Woodlands.

Timbalan Pendakwa Raya, Angela Ang berkata, Abdul Rahim pernah disabit kesalahan dan dihukum penjara sebelum ini kerana mengambil dadah methamphetamine. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram