PENDUDUK yang pernah terkesan banjir di Kedah meletakkan harapan tinggi supaya kerajaan dapat merealisasikan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana, bagi membantu rakyat menghadapi musibah itu dengan lebih berkesan.
Seorang penduduk Kampung Padang Asun Luar dekat Bukit Kayu Hitam, Kedah, Adzizah Kassim, 60, berkata, beliau sekeluarga yang sering kali berhadapan bencana itu sejak 30 tahun lepas sememangnya menyambut usaha kerajaan itu.
Adzizah berkata, pengurusan banjir secara lebih sistematik amat perlu bagi memastikan bencana itu tidak memberikan kesan yang sangat teruk kepada rakyat.
"Boleh dikatakan setahun tiga kali saya berhadapan masalah banjir hingga perabot dan peralatan elektik rosak. Air pernah mencecah hingga paras pinggang.
"Jadi, saya sangat harap kerajaan negeri boleh beri perhatian untuk menaik taraf terutama sistem perparitan di sekitar kawasan rumah saya ini melalui langkah yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya.
Minggu lepas, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) bersetuju menggariskan lapan langkah strategik penambahbaikan pengurusan bencana negara yang dibentangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, perbincangan menekankan langkah dan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang yang perlu dilakukan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri supaya bencana banjir tidak memberikan impak besar kepada negara dan rakyat.
Jamilah Mohamed, 57, yang menetap di Kampung Alor Gunung di Alor Setar berkata, beliau gembira dengan langkah kerajaan itu dan berharap perancangan berkenaan dapat dilaksanakan dengan efisien.
"Banjir baru-baru ini (antara November dan Disember lepas) amat membebankan kehidupan saya sekeluarga. Pendapatan keluarga bukan sahaja terjejas teruk kerana tidak dapat menjalankan perniagaan, malah terpaksa tanggung kerugian akibat kerosakan harta benda," katanya yang merupakan peniaga makanan.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu, Datuk Norsabrina Mohd Noor pula menyifatkan, langkah strategik itu komprehensif apabila menggariskan tindakan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk menguruskan bencana banjir.
Beliau berkata, bagaimanapun, kementerian berkaitan yang bertanggungjawab melaksanakan perancangan itu perlu melakukan pendekatan penyelesaian luar biasa, dalam usaha merealisasikan langkah itu sekali gus dapat mengurangkan beban rakyat menghadapi musibah berkenaan.
"Apa yang Perdana Menteri buat ini amat baik sebab terus bincang langkah jangka pendek dan panjang. Kementerian berkaitan perlu bertanggungjawab mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan masalah ini, kalau pendekatan macam biasa, sama sahaja hasilnya. Jika perlukan peruntukan tertentu, kena beritahu kerajaan.
"Bagi kami selalu kena banjir ini, memang dah tahu ‘hotspot’ kawasan banjir dan dah tahu punca banjir antaranya disebabkan masalah saliran perparitan dan sungai. Kami tahu untuk menyelesaikan punca ini memakan masa tetapi apa pun, punca ini kena ‘rawat’ segera," katanya.
Pada Disember lepas, 23 orang daripada 11 keluarga di Mukim Bagan Samak di Bandar Baharu dekat Kulim dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan banjir. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram