'Nak isi borang bantuan zakat pun payah'


PAHANG antara negeri terkesan akibat banjir besar pada akhir tahun lalu, mengakibatkan banyak kediaman dan harta benda orang ramai musnah. — Bernama

SECARA umumnya, baitulmal adalah institusi yang menyelaraskan kutipan dan mengagihkan harta berasaskan syariat Islam.

Ia juga berfungsi untuk membantu golongan miskin dan orang kurang bernasib baik seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, manakala harta mestilah diberikan secara adil dan saksama.

Namun, lain kisahnya apabila ada pihak yang menimbulkan kerenah birokrasi dan seolah-olah sengaja menangguhkan pemberian bantuan kepada salah seorang mangsa banjir.

Menerusi perkongsian Ina Nor Azlina, dia didatangi oleh mangsa banjir berkenaan untuk mengadu mengenai perkara itu.

Ina berkata, individu tersebut pada mulanya telah tiba ke sebuah pusat zakat pada awal pagi, namun dia sukar untuk mendapatkan tempat letak kenderaan.

Apabila berhadapan dengan kakitangan pusat zakat tersebut, katanya, individu itu diminta mengisi borang permohonan bantuan secara atas talian atas alasan ia lebih mudah.

"Berlari pula hamba ALLAH ini dah runsing. Ya lah, separuh abad. Nak usik komputer, nak isi borang secara online atas talian lagi. Aku sedih.

"Masalah beliau, telah mengingatkan aku dulu sewaktu kehidupan aku susah yang tiada liputan internet dan juga laptop (komputer riba). Menangis. Nak isi borang belajar pun payah. Tambah lagi buta internet, walaupun tika itu sekitar 20-an," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Prihatin dengan individu itu, Ina mengambil langkah membantunya mengisi borang bantuan Zakat Pahang yang disifatkannya bukan perkara mudah.

Dia berkata, selain terdapat banyak maklumat yang perlu diisi, dokumen juga perlu dilampirkan sebagai bukti.

Selain itu, dia juga tidak menolak kemungkinan perkara tersebut adalah antara punca tidak ramai yang mengisi borang di pusat zakat untuk meminta bantuan.

"Nak pengesahan (laporan polis, pengesahan ketua kampung dan bukti rumah banjir). ALLAHUAKBAR. Semoga mangsa-mangsa banjir mendapat hak mereka.

"Minggu depan sekolah nak mula. Tapi katanya baju-baju sekolah tiga orang anaknya pun tidak berbeli lagi. Hanya harapkan bantuan banjir ini lah. Itu sahajalah. Bab-bab ni emosi aku cepat terusik," katanya sedih.

Terdahulu, kerajaan mengambil inisiatif memberikan Bantuan Wang Ihsan (BWI) banjir sebanyak RM1,000 kepada mangsa yang terjejas dengan bencana ini.

Manakala, bantuan sebanyak RM10,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa yang menghadapi kematian akibat banjir (untuk setiap individu yang terkorban). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram