Permohonan tinggi di Klang, Petaling punca lewat salur BSB


  • Primer
  • Khamis, 03 Feb 2022

BANJIR yang melanda Shah Alam, Selangor pada Disember lalu membuatkan ramai yang terkesan. — Bernama

KELEWATAN proses penyaluran inisiatif Bantuan Selangor Bangkit (BSB) di Klang dan Petaling adalah disebabkan jumlah permohonan yang tinggi daripada mangsa banjir di dua daerah tersebut.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya turut mengesan permohonan bertindih daripada ahli keluarga selain ketua isi rumah yang terjejas banjir, justeru saringan perlu dilakukan sebelum bantuan tersebut dapat diagih.

“Terlebih dahulu, saya ingin memohon maaf kepada mereka yang sudah memohon, layak menerima tetapi belum disampaikan BSB kerana terdapat tambahan permohonan yang tinggi di daerah Klang dan Petaling dan secara keseluruhan kita telah menerima 109,000 permohonan yang memerlukan RM109 juta bagi BSB.

“Untuk mengelakkan pertindihan ini dan memastikan kesaksamaan serta keadilan bantuan ini kepada mangsa yang terkesan, pejabat-pejabat daerah dalam peringkat akhir menyelesaikan pemutihan data," katanya.

Amirudin berkata, buat masa ini BSB disalurkan kepada 1,000 pemohon setiap hari dan pihaknya akan mempercepat proses tersebut dengan menggandakan jumlah bantuan sehingga kepada 3,000 penerima sehari bermula minggu hadapan dan pemberian bantuan itu akan diselesaikan selewat-lewatnya akhir bulan Februari.

Beliau berkata, hingga kini 55,425 keluarga yang terbabit banjir sudah menerima BSB RM1,000 manakala 13 keluarga yang kehilangan ahli keluarga tersayang akibat bencana itu sudah menerima RM10,000 setiap keluarga.

"Berdasarkan maklumat, terdapat 19 waris yang kehilangan ahli keluarga akibat banjir baru-baru ini layak menerima bantuan RM10,000 dan kita sedang mengesan enam lagi keluarga untuk disalurkan bantuan.

"Secara keseluruhan jumlah keseluruhan yang disalurkan kepada mangsa yang terkesan banjir hingga kini adalah RM55.55 juta," katanya.

Amirudin berkata, 14 kerja pemulihan infrastruktur akibat banjir sudah bermula secara berperingkat di tujuh daerah yang melibatkan kerja pembinaan ataupun pemulihan jalan, jambatan serta pembersihan dengan peruntukan RM31.7 juta. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram